TASEK GELUGOR: Gara-gara brek tidak berfungsi, sebuah lori yang dipandu seorang lelaki merempuh enam kereta lain yang berhenti di lampu isyarat di Jalan Ara Kuda, Tasek Gelugor.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan hanya seorang pemandu mengalami cedera ringan dalam insiden jam 10.45 pagi Sabtu itu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Superintendan Siti Nor Salawati Saad berkata, kemalangan melibatkan sebuah lori tiada muatan dari Tasek Gelugor menghala ke Lunas, Kedah.

"Apabila tiba di lampu isyarat Jalan Ara Kuda, brek lori tidak berfungsi menyebabkan pemandu cuba mengawal dan memperlahankan kenderaannya dengan bergerak ke kiri dan ke kanan.

“Namun, pemandu gagal berhenti lalu merempuh kenderaan lain yang sedang berhenti disebabkan lampu isyarat berwarna merah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Siti Nor Salawati berkata lori itu telah merempuh dan melanggar sebuah kereta jenis Perodua Viva dan Proton Waja.

"Bagaimanapun, impak pelanggaran kedua-kedua kenderaan itu menyebabkan kereta mereka bergerak dan melanggar kenderaan di hadapan menyebabkan lain-lain kereta yang berada di hadapan menggelongsor ke hadapan lalu melanggar kenderaan lain yang sedang berhenti di lampu isyarat.

“Akibat kejadian tersebut, seorang pemandu kereta mengalami cedera ringan manakala pemandu kenderaan lain tidak cedera,” katanya.

Siti Nor Salawati berkata kes disiasat di bawah Kaedah 10, Kaedah Kaedah Lalulintas 1959.

Sebelum ini, tular satu kejadian kemalangan melibatkan sebuah lori terbabas selepas dipercayai mengalami masalah brek sebelum merempuh beberapa buah kenderaan lain.

Rakaman video berdurasi 28 saat itu menunjukkan sebuah lori meluru laju dalam keadaan terhuyung-hayang dari arah kiri ke kanan dipercayai kerana mengalami masalah brek sebelum merempuh kenderaan di hadapannya yang sedang berada di persimpangan lampu isyarat.