[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Brian Yuliarto menghadap Raja Muda Perlis, bincang kerjasama pendidikan tinggi

Bernama 19/09/2025 | 09:30 MYT
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra menerima menghadap Menteri Pendidikan Tinggi, Sains dan Teknologi Indonesia Brian Yuliarto. - Gambar/ Bernama
JAKARTA: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menerima menghadap Menteri Pendidikan Tinggi, Sains, dan Teknologi Indonesia Brian Yuliarto di sini, bagi membincangkan tentang peluang kerjasama dalam pendidikan tinggi di republik itu.


Ringkasan AI
  • Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra menerima menghadap Menteri Pendidikan Tinggi, Sains dan Teknologi Indonesia Brian Yuliarto bagi membincangkan peluang kerjasama pendidikan tinggi antara Malaysia dan Indonesia, khususnya melibatkan UniMAP.
  • Bidang kejuruteraan, nanoteknologi, ijazah berganda, biasiswa pascasiswazah dan program profesor pelawat antara kerjasama yang diusulkan, dengan harapan meningkatkan kualiti pendidikan tinggi kedua-dua negara.
  • UniMAP turut mengusulkan kerjasama dalam penyelidikan dan inovasi melibatkan teknologi hijau, semikonduktor, nanoteknologi serta agenda kelestarian global, selain mempergiat promosi pengajian prasiswazah kepada pelajar Indonesia.


Baginda selaku Tuanku Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) meluangkan masa kira-kira setengah jam bersama menteri tersebut dan turut disertai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniMAP Prof Ir Dr Mohd Shukry Abdul Majid.

Brian ketika ditemui selepas pertemuan itu berkata pelbagai bidang khususnya berkaitan kejuruteraan dan teknologi nano atau nanoteknologi dilihat berpotensi untuk dimajukan bersama UniMAP.

"Sangat banyak bidang yang sesuai, dari kejuruteraan dan teknologi nano kerana saya tahu beberapa kemajuan dimiliki UniMAP kerana saya ada pengalaman peribadi bekerjasama dengan salah seorang profesor dari UniMAP.

"Kita berharap banyak kerjasama bisa kita lakukan dari ijazah bersama, ijazah berganda dan sampaikan beberapa biasiswa mungkin untuk pelajar Indonesia belajar di UniMAP di peringkat S2 (sarjana) dan S3 (doktor falsafah)," katanya

Menurut Brian, kerjasama lain termasuklah profesor pelawat sangat disambut baik pihaknya bagi meningkatkan kualiti pendidikan tinggi di kedua-dua negara.

Sementara itu, Mohd Shukry berkata UniMAP amat berbesar hati untuk terus memperkukuh hubungan dalam bidang akademik, penyelidikan dan pembangunan modal insan antara Malaysia dan Indonesia.

"Kami mengusulkan beberapa bentuk kerjasama strategik yang diyakini mampu memberikan manfaat bersama antaranya kerjasama penawaran tempat pengajian pascasiswazah (S2 dan S3) di UniMAP dengan skim diskaun secara berkumpulan bagi pensyarah dan pelajar.

"Kami juga mengusulkan agar usaha promosi pengajian prasiswazah di UniMAP dipergiat kepada pelajar Indonesia khususnya dalam bidang kejuruteraan dan teknologi yang menjadi kekuatan kami," katanya.

Beliau berkata lagi UniMAP juga sangat mengharapkan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan inovasi terutama berkaitan teknologi hijau, semikonduktor, nanoteknologi serta agenda kelestarian global.

-- BERNAMA



#Raja Muda Perlis #UniMAP #Indonesia #brian yuliarto