MALAYSIA

BSMM perkukuh kesiapsiagaan hadapi musim Monsun Timur Laut

Bernama 22/10/2025 | 14:45 MYT
BSMM telah menyediakan aset logistik, pasukan sukarelawan serta barangan bantuan penting seperti kit kebersihan, selimut dan peralatan kecemasan bagi memastikan tindak balas segera sekiranya bencana berlaku. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) memperkukuh koordinasi bersama agensi kerajaan, swasta, rakan korporat serta sukarelawan sebagai usaha mempertingkatkan kesiapsiagaan menghadapi bencana ketika Monsun Timur Laut (MTL).

Pengerusi Kebangsaan BSMM Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah kesiapsiagaan dan kerjasama memainkan peranan penting dalam menghadapi krisis memandangkan tiada organisasi mampu menangani bencana secara bersendirian.

"Ia memerlukan usaha dan tanggungjawab bersama. Kerjasama antara sektor awam, swasta dan sukarelawan memastikan bantuan sampai kepada mereka yang paling memerlukan pada masa yang tepat," titah baginda pada majlis penyerahan sumbangan oleh Nestle Malaysia di sini hari ini.

Pada majlis itu, Nestle Malaysia menyerahkan sumbangan 5,500 kotak bantuan makanan asas kepada negeri berisiko banjir antaranya Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah, Johor, Sabah dan Sarawak.

Sebagai sebahagian daripada pelan kesiapsiagaan monsun, BSMM telah menyediakan aset logistik, pasukan sukarelawan serta barangan bantuan penting seperti kit kebersihan, selimut dan peralatan kecemasan bagi memastikan tindak balas segera sekiranya bencana berlaku.

Sementara itu, Setiausaha Agung BSMM Datuk Danial Iskandar Abdul Rahman berkata tumpuan utama menjelang musim monsun adalah memastikan semua logistik, sukarelawan dan sistem tindak balas berada dalam keadaan siap siaga untuk digerakkan segera.

"Melalui kerjasama rapat dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), pihak berkuasa tempatan, rakan korporat serta komuniti setempat, kami berusaha memperkukuh keupayaan bagi menyampaikan bantuan dengan lebih cepat dan berkesan," katanya.

Selama lebih tujuh dekad, BSMM kekal di barisan hadapan dalam usaha bantuan kemanusiaan dan tindak balas bencana, sejajar dengan Strategi 2030 pertubuhan itu untuk membina komuniti yang lebih berdaya tahan melalui kesiapsiagaan dan semangat kemanusiaan.

MTL atau lebih dikenali musim tengkujuh dijangka bermula pada awal November ini.

-- BERNAMA





#bantuan kemanusiaan #NADMA #monsun timur laut #bantuan makanan asas