BSN masih tawar bantuan bayaran untuk pelanggan bersasar

Bernama
Mei 22, 2021 06:22 MYT
Pelanggan-pelanggan yang menghadapi kesulitan kewangan untuk meneruskan pembayaran ansuran bulanan pinjaman atau pembiayaan mereka boleh memohon bantuan yang ditawarkan Bank Simpanan Nasional.
KUALA LUMPUR: Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini memaklumkan pihaknya masih meneruskan Pakej Penyusunan Semula Pembiayaan serta Program Bantuan Pembayaran Balik Bersasar bagi membantu pelanggan yang menghadapi kesulitan kewangan meneruskan pembayaran ansuran bulanan pinjaman atau pembiayaan mereka.
Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil Jeremy dalam satu kenyataan berkata, sehubungan itu, pelanggan yang memerlukan masih boleh memohon bantuan yang ditawarkan BSN.
Katanya, masih ramai pelanggan yang terjejas akibat pandemik COVID-19 walaupun sudah lebih setahun ia melanda negara dan keadaan semakin runcing dengan peningkatan kes harian yang dicatatkan di seluruh negara sehingga menyebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang terbaharu.
"Oleh itu, kami menyeru agar pelanggan yang masih memerlukan bantuan untuk segera memohon bantuan-bantuan yang ditawarkan oleh BSN," katanya.
BSN juga menegaskan sebarang bantuan pembayaran yang diambil tidak akan menjejaskan status Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) pelanggan terlibat.
Permohonan Pakej Penyusunan Semula Pembiayaan atau Program Bantuan Pembayaran Balik Bersasar BSN boleh dibuat melalui laman web https://www.bsn.com.my/page/TRA.
Maklumat lanjut juga boleh didapati menerusi Pusat Perhubungan Pelanggan BSN melalui talian 1-300-88-1900, emel covid19crd@bsn.com.my, atau kunjungi cawangan BSN yang berdekatan dengan merujuk https://www.bsn.com.my/page/C19branchclosure bagi senarai cawangan BSN yang dibukasepanjang tempoh PKP. - BERNAMA
#BSN #Bank Simpanan Nasional #Pakej Penyusunan Semula Pembiayaan #Program Bantuan Pembayaran Balik Bersasar #ansuran bulanan #pinjaman #pembiayaan #COVID-19 #Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat #CCRIS