MALAYSIA
Buang bayi dari tingkap: Bekas pelajar kolej dipenjara tiga bulan, denda RM10,000

Wanita itu yang kini berusia 23 tahun, menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap dan sekiranya gagal melunaskan denda, tertuduh dipenjara selama lima bulan. - Gambar/ Sinar Harian
GEORGE TOWN: Seorang wanita bekas pelajar kolej swasta dihukum penjara tiga bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan alternatif membunuh anak sendiri dengan membuang bayi perempuannya dari tingkap apartmen pada 2020.
Ringkasan AI
- Seorang wanita berusia 23 tahun dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Tinggi selepas mengaku bersalah atas pertuduhan alternatif membunuh bayi perempuannya dengan membuangnya dari tingkap apartmen pada 2020.
- Mahkamah mengambil kira faktor trauma, tekanan mental, dan kemurungan teruk yang dialami tertuduh sejak kejadian, serta pendekatan pemulihan berbanding hukuman punitif, memandangkan tertuduh juga pernah berniat membunuh diri.
- Kesalahan dilakukan ketika tertuduh berusia 18 tahun dan didakwa mengikut Seksyen 309A Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda; kegagalan membayar denda akan menyebabkan tambahan hukuman penjara lima bulan.
Dalam penghakimannya, Rofiah berkata mahkamah juga mengambil kira kepentingan awam dan pengakuan bersalah serta faktor masalah kesihatan kemurungan teruk dialami tertuduh yang disahkan oleh Hospital Bahagia Ulu Kinta di Perak sehingga masih mendapatkan rawatan dan mengambil ubat hingga hari ini.
"Berdasarkan senario ini, mahkamah juga mengambil pendekatan untuk menjatuhkan hukuman lebih bersifat pemulihan berbanding punitif atau menghukum. Pada hari kejadian, tertuduh juga sebenarnya telah bertekad untuk membunuh diri selepas melahirkan bayi," katanya.
Tertuduh, yang berusia 18 tahun ketika kejadian, didakwa melakukan kesalahan itu di laluan ke kawasan tempat letak kenderaan aras 4, Apartmen Sri Ivory, Bandar Baru, Ayer Itam di sini pada 8.25 pagi 10 Julai 2020 mengikut Seksyen 309A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Khairiah Dahalaan manakala tertuduh diwakili peguam RSN Rayer dan prosiding turut dihadiri Pegawai Perintah Khidmat Masyarakat Jabatan Kebajikan Masyarakat Timur Laut Mohd Zahir Harun.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami