[TERKINI] Kes Zara Qairina: JSJ Sahkan Pegawai Penyiasat Tidak Patuh SOP, Gagal Mohon Bedah Siasat – Ikuti Perkembangan Di Sini
MALAYSIA

Buang bayi: Tiga individu termasuk bapa sumbang mahram ditahan

Umavathi Ramayah 13/08/2025 | 06:00 MYT
Kedua-dua suspek lelaki ditahan dan direman, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 317 dan 376(3) Kanun Keseksaan. - Gambar hiasan
KAJANG: Tindakan seorang pengawal keselamatan yang mendakwa menemukan bayi perempuan di sebuah stesen minyak di Batu 14, Hulu Langat, di sini pada Isnin lalu terbongkar apabila siasatan mendapati dia sebahagian daripada dalang di sebalik kejadian itu.


Ringkasan AI
  • Seorang pengawal keselamatan didapati bersubahat dalam kes pembuangan bayi perempuan yang kononnya ditemui di stesen minyak di Hulu Langat, bersama rakannya yang melakukan sumbang mahram dengan anak kandungnya.
  • Bayi tersebut dilahirkan oleh remaja perempuan berusia 16 tahun dan kini berada dalam keadaan sihat serta ditempatkan di hospital untuk pemantauan.
  • Kedua-dua suspek lelaki ditahan dan direman, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 317 dan 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dan sebatan jika disabitkan kesalahan.


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Naazron Abd Yusof berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan daripada lelaki yang berusia 29 tahun itu pada pukul 1.56 pagi memaklumkan menemukan bayi perempuan masih bernyawa dalam sebuah kotak berhampiran bangunan kedai di stesen minyak berkenaan.

Namun siasatan lanjut yang dilakukan kata beliau, mendapati pengadu bersubahat dengan rakannya, seorang penghantar barang berusia 39 tahun, yang melakukan sumbang mahram dengan anak kandungnya berusia 16 tahun sehingga melahirkan bayi tersebut.

“Aduan kononnya bayi itu ditemui adalah rekaan semata-mata dan mereka dipercayai terbabit membuang serta menyembunyikan kelahiran bayi berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.

Mohd Naazron memberitahu, remaja perempuan itu yang berhenti sekolah, dipercayai kurang dari seminggu melahirkan bayi berkenaan.

Beliau berkata, bayi berkenaan berada dalam keadaan sihat dan kini ditempatkan di hospital untuk pemantauan.

Siasatan juga kata beliau mendedahkan remaja perempuan itu pernah dirogol bapanya.

“Susulan itu, polis menahan kedua-dua lelaki dan remaja perempuan itu pada kira-kira pukul 5.35 petang, Selasa.

“Kedua-dua suspek lelaki direman masing-masing selama satu dan enam hari, manakala suspek wanita dibebaskan dengan jamin polis dan kini dirawat di hospital,” katanya.

Kata beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan sumbang mahram, pula katanya, suspek boleh dihukum penjara antara lapan hingga 30 tahun dan tidak kurang 10 sebatan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.

Beliau memberitahu, semakan mendapati kedua-dua suspek lelaki itu mempunyai rekod lampau masing-masing membabitkan dua kes dadah dan dua kes jenayah.

Susulan itu beliau meminta, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Hizwan Hamzah di talian 019-6369835 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.



#buang bayi #stesen minyak #sumbang mahram #polis kajang