KEMPAS: Polis Johor menahan empat suspek, termasuk pemilik premis yang disyaki membuang sisa bahan buangan berjadual di Tali Air Sungai Tawakal, dekat sini.

Kesemua suspek lelaki tempatan itu ditahan kira-kira jam 11.30 pagi tadi dalam operasi bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kedudukan kilang terbabit berada tiga kilometer dari Kampung Baru Sri Aman yang terbabit dengan pencemaran.

BACA: Bomba Johor kesan pencemaran sisa industri berbahaya di lokasi tali air

BACA: Penduduk sesak nafas, tumpahan bahan kimia dikesan di kawasan anak sungai Seelong

BACA: 'Sesak nafas sampai ada yang pengsan' - Penduduk gempar bau kuat dari anak sungai Seelong

"Kita telah buat tangkapan, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah buat tangkapan empat suspek termasuk pemilik premis yang kita syaki mungkin terlibat dalam sisa pembuangan toksik.

"Siasatan dibuat oleh JAS di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling.

"Pihak polis akan beri bantuan sepenuhnya kepada JAS untuk operasi susulan, mungkin ada lokasi yang kita perlu periksa dan serbu serta tangkapan yang perlu dibuat," kata Ayob Khan.

Beliau berkata demikian ketika membuat tinjauan di tali air berkenaan yang terletak di Kampung Baru Sri Aman, dekat sini.

Jelas Ayob Khan, pihaknya akan meneruskan operasi di beberapa lagi premis yang dikenal pasti.

Beliau turut memaklumkan empat mangsa berusia 20 hingga 40an yang dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) kini berada dalam keadaan stabil.