SHAH ALAM: Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mempersoalkan cadangan kerajaan mewujudkan Akaun Fleksibel atau Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang boleh diakses pengeluarannya pada bila-bila masa.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, sebelum ini pencarum menyimpan sebahagian hasil pendapatan sebanyak 70 peratus dalam Akaun 1 manakala Akaun 2 adalah 30 peratus bagi tujuan pelaburan dan saham.

Menurutnya, jika akaun itu diwujudkan berkemungkinan jumlah dividen yang diterima oleh pencarum tidak sama.

“Apabila saya mendengar pengumuman kerajaan untuk membolehkan pencarum KWSP membuka Akaun Fleksibel saya tergamam dan cuba melihat apakah objektif sebenar kewujudannya?

“Saya difahamkan simpanan akaun ini tidak akan menerima jumlah dividen yang sama seperti Akaun 1 dan 2. Jadi buat apa kita buka Akaun 3?

“Kerajaan perlu menjelaskan secara terperinci objektif membuka akaun ini,” katanya dalam satu hantaran video di Facebook pada Ahad.



Pada 24 Oktober lalu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin memaklumkan, Akaun 3 KWSP itu boleh diakses oleh semua ahli tanpa mengira mereka daripada kumpulan B40, M40 atau T20 pada bila-bila masa khususnya ketika kecemasan.

Menurut beliau, langkah itu adalah untuk memanfaatkan dan meringankan beban kewangan rakyat ketika menghadapi keperluan di luar jangkaan.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, sekiranya kerajaan ingin menyelesaikan isu kecairan tunai dalam pasaran saham, tindakan mewujudkan Akaun 3 bukan solusi yang baik.

Ujarnya, jika pencarum perlu menyimpan wang di Akaun Fleksibel, beliau khuatir perkara itu akan membebankan rakyat.

“Sekiranya Akaun 3 ini dibuka akan membawa padah kepada pencarum. Jadi fikir-fikirlah,” katanya.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian