MALAYSIA
Buat kecoh di pekarangan hotel, 46 pekerja asing ditahan
Kejadian itu tular di media sosial dan menimbulkan kegusaran awam.
BUKIT MERTAJAM: Polis menahan 46 lelaki warga asing susulan kekecohan di pekarangan sebuah hotel yang dijadikan penginapan pekerja di sini malam tadi.
Ringkasan AI
- Seramai 46 lelaki warga asing ditahan selepas terlibat dalam kekecohan di pekarangan sebuah hotel yang dijadikan hostel pekerja di Seberang Perai Tengah, berpunca daripada isu kutipan denda oleh warden tanpa pengetahuan syarikat.
- Kekecohan menyebabkan kerosakan pada van syarikat dan kesemua suspek kini direman untuk siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata atau objek berbahaya.
- Kejadian itu tular di media sosial dan menimbulkan kegusaran awam, namun polis berjaya mengawal keadaan dan menenangkan situasi di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Helmi Aris berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada 10.42 malam memaklumkan terdapat sekumpulan pekerja warganegara asing berkumpul di pekarangan bangunan itu.
"Siasatan awal mendapati bangunan itu dijadikan hostel pekerja oleh sebuah syarikat di kawasan Perindustrian Bukit Minyak dan menetapkan peraturan pekerja tidak dibenarkan menghisap rokok atau mengambil minuman keras semasa tinggal di kawasan premis itu.
"Kejadian berpunca selepas beberapa pekerja tidak berpuas hati dengan warden hostel yang juga seorang lelaki warganegara asing kerana mengutip denda daripada pekerja melanggar peraturan tanpa pengetahuan pihak syarikat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Helmi berkata tindakan itu menyebabkan beberapa pekerja berkumpul dan merosakkan van syarikat di hadapan bangunan berkenaan.
Kesemua lelaki berkenaan direman hingga Selasa ini untuk siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata atau objek berbahaya.
Terdahulu, kejadian itu tular menerusi media sosial hingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan orang awam, namun pihak polis dilihat berada di lokasi bagi menenangkan keadaan.
-- BERNAMA