LAHAD DATU: Seekor buaya yang dilihat berada di sekitar pesisir pantai Bandar Lahad Datu ditembak mati pada petang Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, buaya sepanjang hampir tiga meter itu ditembak mati susulan operasi mengesan seekor buaya yang membaham kanak-kanak di perairan sama pada minggu lalu.

Pegawai Hidupan Liar Daerah Lahad Datu, Silvester Saimin berkata, operasi itu dijalankan bersama Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan berkenaan.

"Kita berjaya mengesan seekor buaya di perairan Lahad Datu dan operasi menembak haiwan berkenaan adalah sejauh kira-kira 10 meter dari tempat tembakan dilepaskan.

"Buaya yang ditembak bagaimanapun bukan haiwan yang sama membaham kanak-kanak berkenaan berdasarkan saiz namun disebabkan ia berada berhampiran kawasan bandar dan terdapatnya aktiviti manusia dibimbangi membahayakan orang awam menyebabkan tindakan ini diambil," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Serangan Buaya | Tembak & buru dalam radius satu km dari perkampungan

BACA: Serangan buaya: Kanak-kanak Palauh dibaham, bapa cedera

Katanya lagi, pihaknya telah mengesan hampir 10 ekor buaya di kawasan berkenaan dan usaha memburu buaya telah dilakukan sebelum ini terutama apabila menerima aduan daripada orang ramai.

"Buaya yang ditembak mati semalam (Khamis) adalah susulan kejadian kanak-kanak dibaham buaya baru-baru ini dan kita masih mengesan haiwan berkenaan.

"Kita percaya terdapat sembilan ekor buaya di kawasan ini dan untuk kes kanak-kanak yang dibaham baru-baru ini, ukuran saiz haiwan itu kita anggarkan lebih tiga meter.

"Banyak sudah kes buaya dilihat berada di kawasan pesisir pantai ini berdasarkan aduan orang awam dan ada yang telah kita buru atau ditembak mati," katanya.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin memaklumkan bahawa haiwan berkenaan kini dibenarkan ditangkap atau ditembak mati jika berada di kawasan yang ada aktiviti manusia.

Tindakan itu dipercayai susulan kejadian seorang kanak-kanak lelaki hilang disambar buaya manakala bapanya parah dalam kejadian serangan haiwan berkenaan di perairan Lahad Datu. - Sinar Harian