MALAYSIA

Buaya sesat di Pulau Pinang dipindahkan ke Selangor

Bernama 24/09/2025 | 11:20 MYT
Buaya tersebut ditangkap dalam keadaan lemah tanpa kecederaan di Teluk Bahang.
GEORGE TOWN: Buaya tembaga yang ditemukan di Pantai Teluk Bahang, dekat sini semalam, dipindahkan ke Paya Indah Wetlands di Dengkil, Selangor untuk kuarantin selama seminggu sebelum dilepaskan ke habitat asal.


Ringkasan AI
  • Seekor buaya tembaga jantan dewasa seberat 100 kilogram dan sepanjang empat meter ditemukan di pesisir Pantai Teluk Bahang, dipercayai sesat dari sungai berdekatan dan kejadian ini disifatkan sebagai jarang berlaku.
  • Buaya tersebut ditangkap dalam keadaan lemah tanpa kecederaan dan telah dipindahkan ke Paya Indah Wetlands di Dengkil, Selangor untuk menjalani kuarantin selama seminggu sebelum dilepaskan ke habitat asal.
  • Kemunculan buaya itu menggemparkan orang ramai di kawasan belakang sebuah hotel, namun tindakan pantas pihak berkuasa berjaya mengawal situasi dan memastikan keselamatan awam.


Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pulau Pinang Mohd Zaide Mohamed Zin berkata buaya jantan dewasa itu dianggarkan seberat 100 kilogram dan sepanjang empat meter, berusia antara 30 hingga 40 tahun.

"Buaya itu dipercayai sesat dari sungai berdekatan ke Teluk Bahang lebih kurang seminggu lepas. Kami percaya tiada buaya lain di kawasan tersebut dan kes begini sangat jarang berlaku," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd Zaide berkata buaya itu tidak mengalami kecederaan, namun dalam keadaan lemah dan tidak melawan atau bertindak agresif semasa pemeriksaan.

Semalam, kemunculan seekor buaya tembaga di pesisir pantai di belakang sebuah hotel di Teluk Bahang menggemparkan orang ramai, sebelum reptilia itu ditangkap pihak berkuasa.

-- BERNAMA


#buaya sesat #Teluk Bahang #Paya Indah Wetlands #Selangor