MALAYSIA
Budak 11 tahun pandu kereta, terbabas dalam longkang

Tangkap layar video tular memaparkan sebuah kenderaan dipercayai dipandu seorang kanak-kanak didapati terbabas dalam longkang. - Gambar/ Sinar Harian/ Media sosial
KLANG: Tindakan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun memandu kereta bersama adik dan sepupunya berakhir dengan kemalangan apabila kenderaan itu terbabas ke dalam longkang di Jalan Telok Gong, di sini pada Sabtu.
Ringkasan AI
- Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun memandu kereta Proton Saga bersama adik dan sepupunya sebelum terbabas ke dalam longkang di Jalan Telok Gong, Klang. Kejadian berlaku selepas kanak-kanak itu mengambil kunci kereta ketika ibunya ke tandas.
- Ketiga-tiga kanak-kanak tidak mengalami kecederaan, namun kereta mengalami kerosakan kecil. Dua beradik terbabit merupakan pemegang kad UNHCR manakala sepupu mereka adalah warga tempatan.
- Polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 43(1) dan Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Akta Kanak-Kanak 2001 bagi mengenal pasti unsur pengabaian. Ibu bapa diingatkan agar lebih peka dan tidak membiarkan anak-anak memandu atau menunggang kenderaan.
"Bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan berjaya mengesan kenderaan bersama pemiliknya dan tiga kanak-kanak yang dipercayai berada dalam kenderaan itu semasa kejadian.
"Kanak-kanak terbabit terdiri daripada dua beradik yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) serta seorang sepupu mereka yang merupakan warga tempatan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kenderaan itu asalnya dipandu oleh ibu kepada dua beradik berkenaan dari Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Utara Klang menuju ke rumah kakaknya di Telok Gong.
"Setibanya di rumah kakak, wanita terbabit yang juga pemegang kad UNHCR telah meninggalkan kenderaan sebentar untuk ke tandas.
"Peluang itu digunakan oleh anak lelakinya berusia 11 tahun untuk mengambil kunci kereta dan mengajak adiknya berusia tujuh tahun serta sepupu mereka keluar ke kedai," katanya.
Beliau berkata, ketika menghampiri kawasan kedai, kanak-kanak tersebut gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke dalam longkang di bahu jalan.
"Tiada kecederaan dilaporkan dialami ketiga-tiga kanak-kanak namun kereta yang dipandu mengalami kerosakan kecil pada bahagian bawah bonet hadapan sebelah kanan.
"Siasatan berkaitan kejadian dijalankan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 39(1) akta sama selain kes turut dibuka mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 bagi mengenal pasti sebarang unsur pengabaian terhadap kanak-kanak terbabit," katanya.
Ramli berkata, ibu bapa dan penjaga diingatkan lebih peka serta memantau pergerakan anak-anak agar tidak membiarkan mereka memandu atau menunggang sebarang kenderaan yang boleh mengundang risiko keselamatan.
Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan sebuah kenderaan dipercayai dipandu seorang kanak-kanak didapati terbabas dalam longkang. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami