Seorang kanak-kanak lelaki berusia 26 bulan disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital selepas dikejarkan ke Hospital Daerah Besut oleh kedua ibu bapanya.

Sebelum itu mangsa, Muhammad Harif Iskandar Rosli dijumpai oleh kakaknya dikenali sebagai Ayuni dalam keadaan tertiarap di dalam sebuah besen berisi air di rumah ibu bapanya di Kampung Padang Bual, Hulu Besut, dekat sini kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Bapa mangsa Rosli Johari, 37, memberitahu anak keempat daripada lima beradik itu dipercayai bermain seorang diri di dalam bilik air tanpa disedari oleh beliau dan isterinya Nor Hanam Mat Yassin, 27.

Katanya, apabila menyedari ketiadaan anaknya itu beliau telah menyuruh anaknya yang bernama Ayuni untuk mencari adiknya di rumah berkenaan.

"Ayuni yang mencari adiknya telah menemuinya mangsa dalam keadaan tertiarap dalam sebuah besen di bilik air dan segera memberitahu kami berdua", katanya ketika dihubungi hari ini.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Mohd Zamri Mohd Rowi yang dihubungi telah mengesahkan kejadian tersebut.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati tiada unsur jenayah yang menjadi punca kematian mangsa dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

-- BERNAMA