[TERKINI] Amir Hamzah Jalankan Tugas Menteri Ekonomi Berkuat Kuasa Serta-Merta – RMK13 Jadi Tumpuan | Berita Lanjut di Sini
NATIONAL

Budak ditemukan lemas, dua lagi termasuk kakak masih hilang

Sinar Harian 30/03/2025 | 02:15 MYT
Mayat kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang ditemukan lemas diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. - Foto Sinar Harian
SANDAKAN: Seorang kanak-kanak ditemukan lemas manakala dua lagi masih hilang termasuk kakaknya dalam kejadian di kawasan tebing laut berhampiran Dewan Masyarakat Bandar Jalan Costel di sini hari ini.
Kanak-kanak lelaki berusia lima tahun itu ditemukan oleh pasukan penyelamat kira-kira jam 7 pagi selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan sejak jam 1.30 pagi ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Severinus Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1 pagi.
Menurutnya, seramai lima anggota dikejar ke lokasi yang terletak sejauh enam kilometer dari BBP Sandakan.
"Menurut laporan, terdapat tiga beranak terjatuh dari tebing laut tersebut iaitu seorang wanita berusia 29 tahun bersama dua anaknya masing-masing berusia lima dan enam tahun.
"Ketika kejadian, seorang lelaki iaitu sepupu kepada wanita tersebut cuba menyelamatkan kesemua mangsa namun dia pun turut hilang bersama dua lagi kanak-kanak tersebut.
"Mangsa wanita pula sempat diselamatkan oleh orang awam dan diberikan bantuan awal oleh pasukan jentera Perkhidmatan Perubatan Perawatan Kecemasan (EMRS)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Tambah beliau, operasi SAR diteruskan bagi mencari ketiga-tiga lagi mangsa di lokasi sebelum salah seorang ditemukan lemas.
"Seorang kanak-kanak kemudian ditemukan oleh pasukan penyelamat iaitu 200 meter dari lokasi mangsa terjatuh.
"Mangsa disahkan meninggal dunia dan mayat diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya manakala operasi mencari dua lagi mangsa diteruskan," katanya. - Sinar Harian
#operasi mencari dan menyelamat #Sandakan #lemas #Kanak-kanak