IPOH: Ziarah sebuah keluarga berakhir dengan tragedi apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun ditemukan lemas dalam kolam renang di rumah jiran datuknya di Tambun, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, maklumat awal diterima daripada pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, sekitar jam 9.25 malam tadi, membabitkan kematian mangsa.

“Siasatan awal mendapati tempat kejadian adalah di dalam sebuah kolam renang kanak-kanak yang terletak di tepi sebuah rumah lot dimiliki oleh jiran rumah datuk mangsa di Tambun,” katanya dapam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, semasa kejadian, mangsa bersama ibunya berada di dalam rumah tersebut kerana menziarahi ahli keluarga, manakala bapa mangsa keluar menghantar saudara balik ke tempat penginapan lain.

Katanya, kira-kira jam 6.30 petang semalam, mangsa dijumpai oleh abangnya dalam keadaan terapung di dalam kolam renang lalu dihantar oleh warisnya ke hospital untuk rawatan dan disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital.

“Bedah siasat yang dijalankan Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun hari ini mendapati punca kematian mangsa adalah mati lemas," katanya.

Mohd Yusri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 kerana membiarkan kanak-kanak tinggal tanpa pengawasan yang berpatutan.

Menurutnya, kejadian itu adalah kes keempat mati lemas melibatkan kanak-kanak di Ipoh tahun ini yang berpunca daripada ditinggalkan ibu bapa atau penjaga.

“Pihak polis amat memandang serius tentang perkara ini dan akan mengambil tindakan undang-undang tegas terhadap ibu bapa atau penjaga yang membiarkan kanak-kanak bawah jagaan masing-masing tinggal tanpa pengawasan yang berpatutan sehingga menyebabkan kemalangan jiwa,” tegasnya.

Pada 26 April lalu, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun sembilan bulan ditemukan lemas dalam kolam renang di rumah datuknya di Tambun.