[TERKINI] Zizi Kirana Ditahan oleh Israel – 13 Aktivis Malaysia Terputus Hubungan. Ikuti Laporan Langsung Sekarang!
MALAYSIA

Budaya sarapan Malaysia diperkenalkan di Bahrain

Bernama 01/10/2025 | 21:00 MYT
Shazryll berkata, acara yang diadakan di The Gulf Hotel, Manama itu, menampilkan hidangan sarapan kegemaran rakyat Malaysia iaitu nasi lemak, roti canai dan teh tarik. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Kedutaan Besar Malaysia di Manama, Bahrain, telah menampilkan budaya sarapan ikonik negara menerusi program Breakfast Culture in Malaysia: Dining Experience in a Multi-Ethnic Society.

Duta Besar Malaysia ke Bahrain, Datuk Shazryll Zahiran berkata, acara yang diadakan di The Gulf Hotel, Manama itu menampilkan hidangan sarapan kegemaran rakyat Malaysia iaitu nasi lemak, roti canai dan teh tarik.

"Ini sesuatu yang sangat penting dan istimewa bagi Malaysia, kerana kami cuba berkongsi satu pengalaman yang belum pernah dirasai di bumi Bahrain. Saya berpeluang memperkenalkan tiga jenis makanan yang telah didaftarkan di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Breakfast Heritage of Malaysia iaitu nasi lemak, teh tarik dan juga roti canai.

"Dengan berkongsi pengalaman ini, saya berharap akan dapat membuka mata anda untuk merasai sedikit gambaran tentang apa yang boleh dinikmati, sekiranya anda melancong ke Malaysia," katanya dalam satu hantaran di Instagram.

Kedutaan Besar itu dalam satu kenyataan memaklumkan, budaya sarapan Malaysia telah didaftarkan secara rasmi dalam Senarai Perwakilan Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan pada Sidang ke-19 Jawatankuasa Antara Kerajaan bagi Perlindungan Warisan Budaya Tidak Ketara di Paraguay pada Disember 2024.

"Breakfast Culture in Malaysia: Dining Experience in a Multi-Ethnic Society merupakan makanan keselesaan yang dinikmati masyarakat berbilang kaum di Malaysia dan boleh didapati di seluruh negara, khususnya untuk sarapan. Hidangan ini melambangkan kekayaan warisan Malaysia serta kepelbagaian rasanya," menurut kenyataan itu.

Makanan yang dibawakan itu, unik untuk Malaysia dari segi rasa dan menjadi kegemaran rakyat di seluruh negara tanpa mengira demografi, etnik atau agama.

Program itu turut menampilkan Dondang Sayang, seni tradisional Melayu yang diiktiraf UNESCO, dipersembahkan melalui tarian khas, serta kebaya yang dicalonkan bersama oleh Malaysia dan beberapa negara Asia Tenggara, dan telah disenaraikan oleh UNESCO pada tahun 2023.

Pada masa ini, Malaysia mempunyai sembilan elemen dalam Senarai Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan UNESCO, termasuk Mak Yong, Silat, Songket, Mek Mulung, Pantun, Ong Chun/WangKang, Kebaya, Dondang Sayang dan budaya sarapan.

Kenyataan itu memaklumkan, kejayaan Malaysia mendaftarkan Budaya Sarapan dalam Senarai Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan UNESCO merupakan detik membanggakan, dalam usaha memelihara serta meraikan tradisi hidup negara.

"Pengiktirafan ini mengukuhkan kepelbagaian budaya dan warisan kulinari Malaysia sebagai satu kuasa menyatukan merentas komuniti.

"Dengan mengangkat keenakan nasi lemak, roti canai dan teh tarik bersama bentuk seni abadi seperti Dondang Sayang dan keanggunan kebaya, Malaysia menampilkan warisannya bukan sahaja sebagai sumber kebanggaan negara, tetapi juga sebagai hadiah kepada dunia, memastikan tradisi ini terus memberi inspirasi, menyatukan dan menggembirakan generasi masa depan," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA





#Instagram #Unesco #budaya sarapan #generasi masa depan