MALAYSIA

BUDI95 bakal cetus gelombang kesedaran keselamatan jalan raya

Bernama 25/09/2025 | 05:00 MYT
Pada Isnin lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter menerusi penyasaran subsidi di bawah program BUDI95. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dijangka mencetus gelombang kesedaran keselamatan jalan raya, khususnya kepada pemilik dan pengguna kenderaan persendirian yang tidak memiliki lesen memandu sah.


Ringkasan AI
  • Pelaksanaan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dijangka meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya, khususnya dalam kalangan pemilik kenderaan persendirian tanpa lesen memandu sah, termasuk mereka yang tidak pernah memiliki lesen atau gagal memperbaharuinya lebih tiga tahun.
  • Kelemahan kawalan dalam industri automotif dan penguatkuasaan terhadap pembaharuan cukai jalan serta insurans dikenal pasti sebagai punca utama ramai individu memiliki kenderaan tanpa lesen sah, dengan data JPJ menunjukkan 2.3 juta lesen memandu tidak aktif.
  • BUDI95 berpotensi memaksa golongan tanpa lesen aktif untuk menduduki semula ujian memandu dan mungkin mendorong kerajaan merangka undang-undang baharu yang mewajibkan pemilikan lesen sah bagi pembelian kenderaan. Program ini dilancarkan secara berperingkat kepada anggota keselamatan, penerima STR dan rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas.


Aktivis keselamatan jalan raya dan pengangkutan mampan, Shahrim Tamrin berkata inisiatif itu akan memberi kesan langsung kepada tiga kategori utama pengguna iaitu pemilik kenderaan tanpa lesen, individu yang gagal memperbaharui lesen memandu tamat tempoh lebih tiga tahun, serta mereka yang tidak pernah memiliki lesen sama sekali.

Beliau yang juga bekas Ahli Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) berkata tiga golongan berkenaan sangat banyak di bandar kecil, desa atau kawasan pendalaman dan ladang.

Beliau berkata keadaan itu berpunca daripada ketiadaan kawalan ketat dalam industri automotif yang membenarkan kenderaan persendirian dibeli tanpa memerlukan pembeli menunjukkan lesen memandu.

"Sudah menjadi amalan sekian lama dalam industri automotif, dengan tiada kawalan oleh kerajaan bahawa tiada larangan dikenakan bagi mana-mana individu tanpa lesen memandu atau menunggang untuk membeli kereta atau motosikal persendirian daripada pengedar kenderaan baharu atau terpakai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrim berkata kelemahan penguatkuasaan terhadap keperluan memperbaharui cukai jalan dan insurans juga memburukkan lagi keadaan, dengan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menunjukkan perbezaan ketara antara jumlah pembelian kenderaan dan pembaharuan cukai jalan sejak tujuh tahun kebelakangan.

Beliau berkata kenyataan terbaharu JPJ bahawa terdapat 2.3 juta lesen memandu tidak aktif, turut mendedahkan sikap ambil mudah masyarakat terhadap kepentingan memiliki lesen yang sah.

"Dengan pengenalan BUDI95 ini secara langsung dan tidak langsung bakal memaksa pengguna jalan raya yang degil tanpa lesen yang aktif melebihi tiga tahun, menduduki semula ujian lesen memandu.

"Jika mekanisme BUDI95 berjalan lancar seiring dengan pengkalan data JPJ yang mantap untuk 24 bulan seterusnya, saya jangkakan kesan secara berangkai terhadap golongan yang degil termasuk golongan T15, yang akan terpaksa mengikut arus dengan memastikan lesen memandu dan cukai jalan mereka aktif," katanya.

Shahrim juga berkata BUDI95 dilihat antara petanda awal bahawa kerajaan mungkin akan merangka satu undang-undang baharu untuk memastikan sesiapa yang ingin membeli kenderaan harus mempunyai lesen memandu atau menunggang yang sah.

Pada Isnin lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter menerusi penyasaran subsidi di bawah program BUDI95.

Menurut Kementerian Kewangan, sistem BUDI95 dibuka awal kepada 300,000 anggota tentera dan polis pada 27 Sept manakala bagi penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada 28 Sept diikuti 30 Sept bagi 16 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad serta lesen memandu aktif.

-- BERNAMA

#BUDI95 #Budi Madani Ron 95 #Harga Minyak RON95 #lesen memandu