Terkini: Inkues kematian Zara Qairina – ikuti perkembangan harian prosiding mahkamah di sini.
MALAYSIA

BUDI95: Buat laporan jika berlaku manipulasi meter pam

Bernama 16/10/2025 | 08:30 MYT
KPDN Pulau Pinang gesa orang ramai lapor terus jika berlaku manipulasi meter pam dalam program subsidi bersasar BUDI95, bukan menularkan dakwaan di media sosial. -Gambar hiasan/Bernama
BUTTERWORTH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang meminta orang ramai membuat laporan sekiranya berlaku manipulasi meter pam oleh pengendali stesen minyak bagi program subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95).


Ringkasan AI
  • KPDN Pulau Pinang gesa orang ramai lapor terus jika berlaku manipulasi meter pam dalam program subsidi bersasar BUDI95, bukan menularkan dakwaan di media sosial.
  • Setakat ini hanya satu aduan teknikal diterima dan telah diselesaikan, manakala penyelewengan meter pam minyak disifatkan sukar dilakukan.
  • Pemantauan BUDI95 dijalankan secara masa nyata antara KPDN dan Kementerian Kewangan untuk kesan ketirisan subsidi, susulan dakwaan isian petrol berkurangan selepas pelaksanaan program.


Pengarah KPDN negeri S. Jegan berkata langkah itu penting bagi membolehkan siasatan dijalankan dan tindakan diambil jika benar perkara itu berlaku, berbanding menularkan dakwaan tersebut di media sosial.

"Jika ada apa-apa masalah berkaitan BUDI95, laporkan kepada KPDN kerana kita ada saluran rasmi yang boleh digunakan. Tindakan menularkan di media sosial tidak membantu menyelesaikan masalah.

"Setakat ini, kita tidak menerima aduan (lain) mengenai program BUDI95 sejak dilaksanakan kecuali satu aduan berkaitan masalah teknikal yang disebabkan kesilapan individu dan telah diselesaikan," katanya.

Jegan berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2025 di sini hari ini.

Beliau berkata bukan mudah untuk menukar atau menyeleweng mekanisme meter pam minyak di stesen dan jumlah subsidi diberikan bagi pelaksanaan BUDI95 juga telah ditetapkan.

Sebelum ini tular di media sosial dakwaan beberapa pengguna bahawa isian petrol berkurangan daripada kebiasaan selepas pelaksanaan BUDI95.

Pada Sabtu lepas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Ali dilaporkan berkata KPDN akan mengambil tindakan jika terdapat aduan ketirisan subsidi BUDI95, yang telah diperluaskan kepada semua rakyat Malaysia pada 30 Sept.

Beliau berkata pemantauan rapi dilaksanakan melalui sistem masa nyata antara KPDN dan Kementerian Kewangan yang membolehkan trend pembelian di stesen minyak dipantau secara langsung.

-- BERNAMA

#BUDI MADANI #BUDI95 #KPDN Pulau Pinang #manipulasi meter pam