MALAYSIA
BUDI95 didik rakyat jadi pengguna bijak - CAP

Subbarow berkata inisiatif yang menawarkan petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter hingga had 300 liter sebulan itu memberi pendedahan berguna kepada pengguna menerusi maklumat yang dipaparkan dalam resit pembelian. - Gambar fail/Bernama
GEORGE TOWN: Pelaksanaan penuh program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) di seluruh negara bermula hari ini bukan sahaja membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat, malah mendidik pengguna mengenai hak mereka dan amalan perbelanjaan berhemah.
Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) N.V. Subbarow berkata inisiatif yang menawarkan petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter hingga had 300 liter sebulan itu memberi pendedahan berguna kepada pengguna menerusi maklumat yang dipaparkan dalam resit pembelian.
"Maklumat subsidi yang ditunjukkan dalam resit pembelian petrol membolehkan pengguna melihat dengan jelas perbelanjaan mereka dan berapa subsidi yang mereka terima.
"Ini satu bentuk pendidikan pengguna yang amat berkesan kerana petrol merupakan barangan asas dalam kehidupan seharian," katanya kepada Bernama hari ini.Beliau berkata langkah itu membantu pengguna merancang perbelanjaan dengan lebih baik sekali gus menjadikan mereka lebih bertanggungjawab dan bijak dalam penggunaan bahan api.
Mengulas lanjut, Subbarow menegaskan program itu bukan sekadar pemberian bantuan tetapi juga mendidik rakyat menjadi pengguna bijak, langkah penting ke arah membentuk masyarakat yang celik ekonomi dan memahami hak serta tanggungjawab mereka.
Beliau berkata hasil tinjauan CAP mendapati ramai pengguna termasuk pemandu e-hailing melahirkan rasa puas hati terhadap pelaksanaan program berkenaan yang disifatkan memberi impak positif dalam kehidupan harian mereka.
"Mereka memuji inisiatif ini sebagai satu usaha yang baik, walaupun ada sedikit kekurangan teknikal yang boleh diperbaiki, namun secara keseluruhan rakyat berbilang kaum menyambut baik program ini kerana ia bantu jimatkan perbelanjaan petrol bulanan mereka," katanya.
Beliau menambah, orang ramai turut menyifatkan Malaysia sebagai negara terkehadapan dalam menyalurkan subsidi petrol secara bersasar dan mudah melalui pendekatan seperti BUDI95.
Dalam masa sama, Subbarow mencadangkan agar kerajaan turut mempertimbangkan pemberian subsidi kepada kumpulan yang sangat bergantung kepada petrol dan diesel dalam pekerjaan seharian seperti pengusaha bot nelayan dan pemotong rumput.
Sebanyak 16 juta rakyat Malaysia yang layak mula menikmati manfaat inisiatif BUDI95 tepat tengah malam tadi dengan harga RON95 ditetapkan pada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter sebelum ini, dengan setiap individu diberi kelayakan hingga 300 liter sebulan.
Pelaksanaan BUDI95 dilaksanakan secara berperingkat bermula 27 Sept lepas melibatkan kira-kira 300,000 anggota polis dan tentera sebelum diperluas kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam kalangan golongan B40 pada hari berikutnya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami