[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

BUDI95: Guna MyKad sebab penggunaannya mudah, tidak kompleks - Amir Hamzah

Umavathi Ramayah 23/09/2025 | 11:15 MYT
Amir Hamzah berkata bagi BUDI95 hanya kriteria asas digunakan bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan cepat. - Foto Moganraj
SUNGAI BULOH : Kerajaan memutuskan penggunaan MyKad sebagai asas pelaksanaan program Bantuan Budi Madani RON95 (BUDI95), berbanding bergantung sepenuhnya kepada data Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) kerana prosesnya lebih mudah.


Ringkasan AI
  • Kerajaan memilih MyKad sebagai asas pelaksanaan Bantuan Budi Madani RON95 (BUDI95) kerana prosesnya lebih mudah, berbanding bergantung sepenuhnya kepada data PADU.
  • BUDI95 hanya memerlukan semakan asas seperti warganegara, lesen memandu sah, tanpa kompleksiti tambahan, bagi memastikan bantuan disalurkan cepat dan berkesan.
  • Walaupun tidak digunakan sepenuhnya untuk BUDI95, PADU terus menjadi rujukan utama kerajaan untuk analisis dasar, pengesahan data dan mengurangkan risiko kesilapan.


Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata meskipun PADU menjadi rujukan utama kerajaan untuk pelbagai bentuk analisis, termasuk di Kementerian Kewangan, namun bagi BUDI95 hanya kriteria asas digunakan bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan cepat dan berkesan.

“Kalau kita tengok, dalam kerajaan, PADU digunakan untuk pelbagai bentuk analitik kerana data dalam sistem itu sangat kaya (rich data).

"Malah, terdapat permintaan tinggi daripada agensi dan kementerian untuk memanfaatkan PADU bagi tujuan analisis, termasuk Kementerian Kewangan yang menggunakannya bagi menentukan cut-off point serta menjalankan scenario analysis.

“Tetapi untuk BUDI95, kita tidak perlu menggunakan PADU sepenuhnya kerana kriterianya ringkas. Hanya dilihat sama ada pemohon warganegara Malaysia, mempunyai lesen memandu dan lesen itu sah. Jadi, kita tidak memerlukan kompleksiti tambahan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Amir Ham,zah menjelaskan, walaupun PADU tidak dijadikan asas utama bagi program BUDI95, sistem itu tetap sangat berguna dan terbukti memberi banyak nilai tambah dalam pembuatan dasar kerajaan.

“Kita sudah ada banyak use case yang menggunakan PADU, dan permintaan daripada agensi semakin meningkat. Data yang sahih dan tepat penting untuk elak analisis yang tidak benar, sekali gus memastikan dasar kerajaan dibuat dengan lebih berkesan.

“Dari segi kepentingan kewangan juga, kita komited menggunakan PADU untuk validate dan cross-check. Lagi banyak data kita sahkan, lebih rendah kemungkinan berlakunya kesilapan,” jelasnya.


#Amir Hamzah Azizan #Kementerian Kewangan #PADU #BUDI95 #terkini