MALAYSIA
BUDI95: Kerajaan akan pertimbang kelayakan pengusaha bot Sabah dan Sarawak

Tunku Nashrul berkata, inisiatif BUDI95 yang bermula tengah malam tadi diperluaskan kepada 16 juta rakyat Malaysia yang layak dengan kerajaan menetapkan harga runcit RON95 tanpa subsidi pada kadar RM2.60 seliter bagi Okt 2025. - Foto Astro AWANI
PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju untuk mempertimbangkan manfaat inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) kepada pengusaha bot, khususnya di Sabah dan Sarawak bagi memastikan golongan tersebut turut menikmati harga subsidi petrol RON95.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, kerajaan kini sedang bekerjasama dengan Kementerian Kewangan serta Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk mengumpul data pemilik bot agar mereka tidak tercicir daripada menerima manfaat subsidi berkenaan.
"Had kelayakan tambahan dengan pihak e-hailing pada minggu ini kerajaan juga telah bersetuju untuk mempertimbangkan supaya pengendali bot terutamanya di Sabah dan Sarawak layak untuk harga subsidi kerajaan sedang bekerjasama dengan agensi dan kerajaan negeri berkenaan bagi mengumpul data pemilik bot supaya pengguna tersebut tidak tercicir daripada menikmati manfaat BUDI95" katanya.
Selain itu, kerajaan turut memuktamadkan kelayakan tambahan untuk pemandu e-hailing melalui kerjasama antara Kementerian Kewangan dan agensi terlibat bersama penyedia perkhidmatan, tambahnya. "Bagi pemandu e-hailing pula, kerajaan MADANI akan berurusan dengan penyedia perkhidmatan e-hailing bagi pemandu yang layak untuk had kelayakan tambahan petrol bersubsidi Kementerian Kewangan bersama APAD akan memutamatkan proses pemohonan had kelayakan tambahan dengan pihak e-hailing," katanya.
Beliau berkata demikian pada Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, sejak pelaksanaan BUDI95 pada 27 September lalu, sistem BUDI95 berjalan lancar dengan pengesahan MyKad di stesen minyak beroperasi tanpa gangguan.
Sehingga jam 7 malam 29 September, hampir 912,000 penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bersama anggota ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan transaksi BUDI95 yang melibatkan pembelian 21.8 juta liter petrol RON95 bernilai RM43.7 juta.
Inisiatif BUDI95 yang bermula tengah malam tadi (Sept 30) diperluaskan kepada 16 juta rakyat Malaysia yang layak dengan kerajaan menetapkan harga runcit RON95 tanpa subsidi pada kadar RM2.60 seliter bagi Oktober 2025.
“Penerima BUDI95 kekal menikmati harga subsidi RM1.99 seliter, sekali gus memberikan manfaat penjimatan sebanyak 61 sen seliter,” tambahnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami