[TERKINI] Senarai Lengkap Kabinet Baharu MADANI – Siapa Pegang Portfolio Utama?
MALAYSIA

BUDI95: Kerajaan sedang perhalusi had subsidi harian - Amir Hamzah

Umavathi Ramayah 23/09/2025 | 11:39 MYT
Amir Hamzah berkata keutamaan ketika ini adalah memastikan kesediaan stesen minyak dalam melaksanakan sistem subsidi berkenaan agar rakyat dapat menikmati kemudahan tanpa sebarang gangguan. - Gambar/ Astro AWANI
SUNGAI BULOH: Kerajaan sedang memperhalusi mekanisme berhubung had subsidi harian inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) harian bagi mengelakkan sebarang ketirisan.


Ringkasan AI
  • Kerajaan sedang memperhalusi mekanisme had subsidi harian BUDI95 bagi mengelakkan ketirisan, namun penetapan had hanya akan dilaksanakan apabila diyakini tidak menyusahkan rakyat.
  • Fokus utama ketika ini adalah memastikan kesediaan stesen minyak untuk melaksanakan sistem subsidi agar rakyat dapat membeli petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter menggunakan MyKad tanpa gangguan.
  • Subsidi BUDI95 akan bermula 30 September, dengan harga RON95 bagi bukan warganegara ditetapkan pada RM2.60 seliter, selaras dengan pengumuman Perdana Menteri.


Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata keutamaan ketika ini adalah memastikan kesediaan stesen minyak dalam melaksanakan sistem subsidi berkenaan agar rakyat dapat menikmati kemudahan tanpa sebarang gangguan.

"Ini adalah perkara yang sedang kita perhalusi kerana ada risiko ketirisan. Tetapi kalau kita kunci semua risiko sehingga tiada pergerakan, ia akan menyusahkan rakyat dan mungkin tidak praktikal.

"Buat masa sekarang, kita masih mempertingkatkan cara pelaksanaan mekanisme ini,” katanya pada taklimat media berhubung BUDI95 di sini pada Selasa.

Amir Hamzah menambah semua langkah penetapan had hanya akan dilaksanakan apabila kerajaan yakin mekanisme berkenaan tidak menyusahkan rakyat

"Fokus utama sekarang adalah memastikan stesen minyak bersedia untuk mengoperasikan sistem subsidi ini.

"Buat masa ini, rakyat hanya perlu hadir ke stesen minyak, gunakan MyKad, dan boleh membeli petrol pada harga RM1.99 seliter," jelasnya.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan petrol RON95 pada harga RM1.99 bermula 30 September ini bagi rakyat tempatan.

Beliau berkata, bagi bukan warganegara pula, harga RON95 adalah pada RM2.60 bermula tarikh sama.



#BUDI95 #subsidi petrol #Amir Hamzah Azizan #Kerajaan Madani