MALAYSIA

BUDI95: Lebih 13 juta rakyat menikmati penjimatan RM800 juta pada bulan pertama

Bernama 01/11/2025 | 09:47 MYT
Semua pemegang MyKad warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang mempunyai lesen memandu aktif layak membeli RON95 bersubsidi hingga 300 liter sebulan. - Gambar hiasan/Bernama
KUALA LUMPUR: Sebanyak 13.1 juta rakyat telah melakukan transaksi di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dengan nilai perbelanjaan sebanyak RM2.66 bilion dalam bulan pertama pelaksanaannya bermula 30 Sept lepas hingga semalam.


Ringkasan AI
  • Sebanyak 13.1 juta rakyat melakukan transaksi BUDI95 bernilai RM2.66 bilion dalam bulan pertama, melibatkan 1.33 bilion liter RON95 bersubsidi dengan subsidi kerajaan sekitar RM800 juta.
  • 55 juta rakyat layak menikmati harga RM1.99/liter; had bulanan 300 liter (600 liter untuk pemandu e-hailing) jarang digunakan sepenuhnya, hanya 0.7% penerima capai had maksimum.
  • Kerajaan akan perketat pemantauan terhadap corak penggunaan luar biasa dan penyelewengan; tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 akan dikenakan kepada pihak terlibat.


Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan jumlah itu melibatkan pembelian 1.33 bilion liter petrol RON95 bersubsidi dengan jumlah subsidi kerajaan sekitar RM800 juta bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat.

"Ini termasuk lebih 23,000 nelayan dan pengguna bot berdaftar yang tidak memiliki lesen memandu aktif, terutamanya di Sabah dan Sarawak," menurut kenyataan itu.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata pelaksanaan BUDI95 memastikan rakyat menerima manfaat subsidi secara langsung tanpa proses yang rumit di samping membolehkan kerajaan menyalur semula penjimatan kepada pembangunan dan kebajikan rakyat.

"Jelas sekali program ini memberi manfaat berganda kepada rakyat dan negara," katanya dalam kenyataan itu.

MOF turut menjelaskan sejak pelaksanaan BUDI95, sebanyak 16.55 juta rakyat Malaysia layak menikmati harga subsidi RON95 pada kadar RM1.99 seliter berbanding RM2.60 seliter tanpa subsidi, melebihi unjuran asal sebanyak 15 juta orang.

Di bawah program BUDI95, semua pemegang MyKad warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang mempunyai lesen memandu aktif layak membeli RON95 bersubsidi hingga 300 liter sebulan.

Menurut kementerian itu, sejak 13 Okt lepas Kerajaan MADANI telah menaikkan had siling kelayakan bulanan bagi pemandu e-hailing sepenuh masa kepada 600 liter sebulan yang memanfaatkan hampir 58,000 pemandu e-hailing di seluruh negara.

"Secara purata, penerima BUDI95 di bawah kategori persendirian mencatat penggunaan sebanyak 98.2 liter sebulan untuk Oktober 2025, jauh lebih rendah daripada had kelayakan bulanan 300 liter yang ditetapkan.

"Setakat 26 Okt 2025, hanya kurang daripada 0.7 peratus jumlah penerima BUDI95 telah menggunakan sepenuhnya kelayakan bulanan mereka sebelum akhir bulan," menurut kenyataan itu.

MOF turut memperincikan hanya 0.6 peratus dalam kalangan pengguna persendirian telah menggunakan sepenuhnya had bulanan 300 liter, manakala bagi pengguna bot berdaftar tanpa lesen memandu hanya 0.3 peratus telah menggunakan sepenuhnya kelayakan bulanan itu.

Sebagai komitmen memperkukuh pelaksanaan BUDI95, Kerajaan MADANI akan melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa, termasuk semakan semula had kelayakan tambahan bagi pemandu e-hailing supaya lebih saksama dan menyeluruh.

Kementerian itu juga memaklumkan telah mengenal pasti beberapa corak penggunaan luar biasa, termasuk penerima yang menghabiskan keseluruhan had bulanan dalam tempoh singkat serta pembelian berulang di stesen berhampiran sempadan negara.

"Sehubungan itu, Kerajaan MADANI melalui MOF dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus memperkukuh pemantauan di stesen minyak serta dalam kalangan pengguna, bagi memastikan manfaat BUDI95 tidak diselewengkan.

"Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti penyelewengan atau penjualan semula petrol bersubsidi kepada pihak yang tidak berkelayakan dan tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 akan diambil terhadap pihak terlibat," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA



#BUDI95 #Kementerian Kewangan #RON95 #subsidi kerajaan