[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla ke Gaza – Perjalanan kini Semakin Hampir. Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

BUDI95: Pemilik lesen dengan nombor kad pengenalan lama perlu kemas kini maklumat

Bernama 30/09/2025 | 08:37 MYT
Anthony Loke menunjukkan contoh lesen memandu yang tidak dikemas kini pada sidang media mengenai program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) di Kementerian Pengangkutan, hari ini. - Bernama
PUTRAJAYA: Pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) dengan nombor kad pengenalan lama serta pesara polis dan tentera yang masih menggunakan Lesen Memandu Pasukan, diminta mengemas kini maklumat mereka di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).


Ringkasan AI
  • Pemegang LMM dengan nombor kad pengenalan lama serta pesara polis dan tentera yang masih menggunakan Lesen Memandu Pasukan diminta hadir ke kaunter JPJ untuk mengemas kini maklumat agar tidak tercicir daripada menerima subsidi petrol di bawah BUDI95.
  • Pengemaskinian maklumat memerlukan kehadiran fizikal bagi pengesahan cap jari, dan data yang dikemas kini akan disahkan oleh Kementerian Kewangan dan JPN sebelum dimasukkan ke dalam sistem BUDI95.
  • Kerajaan turut membenarkan warga Malaysia yang memegang lesen memandu Singapura untuk menerima manfaat BUDI95, dengan JPJ sedang membangunkan sistem pendaftaran dalam talian yang dijangka siap dalam dua hingga tiga minggu.


Langkah itu bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada menerima subsidi petrol di bawah inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata terdapat sekitar 0.88 peratus atau kira-kira 150,000 orang daripada hampir 17 juta yang layak menerima BUDI95, masih belum mengemas kini maklumat LMM dengan memberikan nombor kad pengenalan diri yang baharu.

"Ada sebilangan kecil golongan yang (nombor kad pengenalan) tidak menggunakan format angka 12 digit. Sejak zaman dulu pemohon-pemohon lesen memandu JPJ boleh menggunakan pelbagai nombor kad pengenalan tidak semestinya MyKad.

"Yang menjadi masalah kalau mereka tak kemas kini nombor MyKad mereka maka kita tak boleh baca dalam sistem BUDI95 itu ataupun tak boleh sahkan mereka Ini warganegara yang layak," katanya pada sidang media mengenai pelaksanaan BUDI95, di sini hari ini.

Bagi pesara polis dan tentera yang masih menggunakan Lesen Memandu Pasukan, Loke berkata mereka juga perlu mengemas kini maklumat tersebut kerana lesen berkenaan hanya boleh digunakan ketika masih berada dalam pasukan.

"MOT dan JPJ komited sepenuhnya untuk membantu semua warganegara Malaysia yang terlibat untuk datang ke mana-mana pejabat atau kaunter JPJ bagi membuat permohonan pengemaskinian data LMM.

"Pemohon bagi tujuan pengemaskinian maklumat mesti hadir secara fizikal kerana proses ini memerlukan pengesahan cap jari," katanya.

Beliau berkata pemegang LMM yang nombor kad pengenalan mereka terdapat kesilapan atau menimbulkan 'red-flag' turut perlu ke kaunter JPJ terdekat bagi tujuan pengesahan maklumat.

"Data yang dikemas kini akan dikemukakan kepada pihak MOF bagi tujuan pengesahan dengan pihak JPN, sekiranya tiada sebarang isu berbangkit...maklumat individu tersebut akan terus dikemas kini dalam sistem BUDI95," katanya.

Beliau berkata permohonan pembaharuan LMM meningkat kepada kira-kira 27,000 sehari sejak pengumuman insiatif BUDI95, berbanding purata 17,000 permohonan sebelum ini.

Sementara itu, Loke berkata kerajaan bersetuju membenarkan warga Malaysia yang memegang lesen memandu Singapura untuk mendapat manfaat di bawah BUDI95.

"JPJ sedang membangunkan satu sistem pendaftaran dalam talian dan memerlukan satu atau dua minggu.

"Saya mohon untuk golongan ini...memberikan kita sedikit masa, bersabar dalam beberapa minggu. Dua tiga minggu ini sudah tentu mereka tak dapatlah BUDI95, tetapi kita akan selesaikan isu ini dalam kadar yang segera," katanya.

-- BERNAMA


#BUDI95 #Anthony Loke #mykad #lesen memandu lama