MALAYSIA

BUDI95: Rakyat Malaysia sekali lagi diingatkan ganti MyKad rosak

Bernama 26/09/2025 | 15:51 MYT
Kerajaan menawarkan penggantian cip MyKad rosak secara percuma di semua pejabat dan kaunter JPN di seluruh Malaysia sehingga 7 Okt depan, untuk memastikan tiada rakyat tercicir daripada menerima manfaat subsidi berkenaan. - Gambar fail/BERNAMA
TAWAU: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sekali lagi mengingatkan agar rakyat Malaysia menggantikan MyKad mereka yang rosak di Jabatan Pendaftaran Negara, bagi membolehkan mereka menikmati subsidi petrol di bawah di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).


Ringkasan AI
  • Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengingatkan rakyat supaya segera menggantikan MyKad yang rosak secara percuma di JPN sebelum 7 Oktober bagi melayakkan mereka menikmati subsidi petrol RON95 melalui program BUDI95.
  • Bermula 30 September, pembelian petrol bersubsidi RON95 pada harga RM1.99 seliter hanya boleh dilakukan dengan menggunakan MyKad, selepas pelaksanaan berperingkat untuk anggota tentera, polis dan penerima STR.
  • Saifuddin turut menegaskan bahawa keselamatan Sabah sentiasa menjadi keutamaan kerajaan demi memastikan keamanan dan ketenteraman negara terjamin.


Saifuddin Nasution berkata kerajaan menawarkan penggantian cip MyKad rosak secara percuma di semua pejabat dan kaunter JPN di seluruh Malaysia sehingga 7 Okt depan, untuk memastikan tiada rakyat tercicir daripada menerima manfaat subsidi berkenaan.

"Sebelum ini kita nak beli minyak tak payah bawa MyKad, tetapi pada 30 hari bulan nanti, nak isi minyak kena pakai Mykad, ini membezakan seseorang itu rakyat Malaysia atau bukan," katanya berucap pada Program Rapat Umum dan Himpunan Keadilan, sempena 27 tahun reformasi di Dewan Terbuka Awam Merotai Besar, di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, sebelum ini mengumumkan pelaksanaan sistem minyak bersubsidi bersasar bagi membolehkan rakyat menikmati petrol RON95 dengan harga RM1.99 seliter, berbanding harga pasaran semasa RM2.05 seliter.

Pelaksanaan ini dilakukan secara berperingkat iaitu pada 27 Sept untuk anggota tentera dan polis, 28 Sept untuk penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang tergolong B40 dan 30 Sept untuk rakyat umum.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata keselamatan Sabah sentiasa menjadi keutamaan kepada kerajaan dan negara.

Beliau berkata keamanan dan ketenteraman bukan terjadi sendiri atau datang bergolek, sebaliknya berlaku kerana kepimpinan negara menjalankan tanggungjawab.

-- BERNAMA


#MyKad rosak #penggantian MyKad #Saifuddin Nasution Ismail #BUDI95