[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla ke Gaza – Perjalanan kini Semakin Hampir. Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

BUDI95: RM91 juta jualan, tiga juta pengguna manfaat dalam tempoh empat hari

Seth Akmal 30/09/2025 | 13:45 MYT
Amir Hamzah berkata, nilai jualan mencecah kira-kira RM91 juta dengan rakyat membeli RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Hanya dalam tempoh empat hari, hampir tiga juta rakyat telah menikmati subsidi petrol melalui program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata nilai jualan mencecah kira-kira RM91 juta dengan rakyat membeli RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter.

Jelas beliau, angka itu termasuk fasa perintis yang bermula Sabtu lalu membabitkan anggota polis dan tentera sebelum diperluaskan kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta orang ramai.

“Kesemua jumlah pengguna BUDI95 sekarang sudah hampir tiga juta orang dengan jualannya hampir RM91 juta mendapat subsidi daripada program ini,” katanya ketika ditemui pada tinjauan di Stesen Minyak Petronas Seri Hartamas, hari ini.

Menurut beliau, setakat jam 6 petang Selasa, lebih dua juta pengguna telah mengisi minyak dan menikmati subsidi yang disediakan kerajaan.

“Pergerakan yang kita dapat hari ini pun lancar dan tidak ramai yang merungut, malah ramai juga yang berterima kasih kerana mendapat harga minyak lebih rendah daripada kerajaan,” katanya.

Mengulas kebimbangan pemilik bot enjin sangkut khususnya di Sabah dan Sarawak, Amir Hamzah menegaskan kerajaan turut memastikan golongan itu layak menikmati manfaat sama.

“Kita ada mendengar daripada mereka yang risau tidak dapat subsidi dan dari segi kerajaan, kita bersetuju mereka layak untuk BUDI95 dengan tahap kelayakan yang akan ditentukan,” jelasnya.

Beliau berkata perbincangan sedang dijalankan dengan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak untuk mengumpul data pemilik bot bagi dimasukkan ke dalam sistem Budi Madani.

Selain itu katanya, kerajaan turut memberi perhatian kepada pemandu e-hailing dan p-hailing yang bimbang kuota subsidi tidak mencukupi.

“MOF menyemak dengan syarikat e-hailing dan p-hailing mengenai penggunaan bulan lalu, dan berdasarkan data itu kita akan menetapkan kuota yang bergerak mengikut corak penggunaan individu. Jadi mereka tidak perlu risau kuota tidak mencukupi,” jelasnya.



#BUDI95 #harga minyak #RON95 #e-hailing