MALAYSIA

BUDI95: Tiada pelanggaran undang-undang dalam isu kuantiti petrol RON95

Bernama 01/11/2025 | 09:32 MYT
Azman berkata mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan berkaitan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730). - Gambar hiasan/Bernama
PUTRAJAYA: Tiada sebarang pelanggaran undang-undang dikesan berhubung dakwaan pengguna menerima kuantiti minyak petrol RON95 yang kurang daripada sepatutnya selepas pelaksanaan inisiatif subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95).


Ringkasan AI
  • KPDN sahkan tiada isu kuantiti atau kualiti petrol RON95 selepas pelaksanaan subsidi bersasar BUDI95; enam aduan diterima setakat ini.
  • Pemeriksaan pam minyak dan semakan rekod jualan dilakukan; pengambilan sampel rawak akan diteruskan untuk pastikan ketepatan sukatan.
  • Kesalahan boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara tiga tahun; orang ramai boleh salur maklumat melalui WhatsApp, talian bebas tol, e-mel atau aplikasi Ez ADU KPDN.


Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Azman Adam berkata kementerian mengambil serius beberapa hantaran di media sosial yang mendakwa pengguna menerima petrol RON95 dalam kuantiti kurang dan berkualiti rendah.

Susulan itu, Azman berkata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali telah mengarahkan siasatan segera dijalankan secara telus demi melindungi hak pengguna.

"Sehingga kini KPDN telah menerima enam aduan berkaitan kekurangan kuantiti minyak petrol RON95 dan tiada aduan rasmi diterima berkaitan isu kualiti rendah," katanya.

Azman berkata pegawai penguat kuasa KPDN telah menjalankan siasatan dan mendapatkan maklumat lanjut berkaitan dakwaan itu, termasuk pemeriksaan ke atas pam minyak dan semakan rekod jualan.

Beliau menegaskan bahawa pelaksanaan BUDI95 tidak melibatkan sebarang perubahan terhadap kuantiti atau kualiti petrol RON95 yang dijual kepada pengguna.

"Pemeriksaan berterusan akan diadakan termasuk pengambilan sampel secara rawak dan pengujian ketepatan sukatan," katanya.

Azman berkata mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan berkaitan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730).

Akta itu memperuntukkan syarikat yang disabit kesalahan boleh didenda hingga RM250,000 atau RM500,000 bagi kesalahan berulang, manakala individu boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan isu ini digalakkan menyalurkan laporan rasmi melalui WhatsApp 019-848 8000, talian 1-800-886-800, e-mel eaduan@kpdn.gov.my atau aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.

-- BERNAMA



#BUDI95 #kpdn #RON95 #Azman Adam