[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

BUDI95: Tiada sebab berlaku kenaikan harga barangan - Amir Hamzah

Umavathi Ramayah 23/09/2025 | 11:18 MYT
Amir Hamzah berkata, SKPS dibangunkan berasaskan pendekatan sama seperti Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) . - Gambar/ Astro AWANI
SUNGAI BULOH : Kerajaan menegaskan tiada sebab berlaku kenaikan harga barangan susulan pelaksanaan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang diperkenalkan bagi memastikan subsidi petrol disalur secara lebih tersasar.


Ringkasan AI
  • Kerajaan menegaskan tiada sebab berlaku kenaikan harga barangan susulan pelaksanaan SKPS kerana jumlah kenderaan sektor logistik yang terlibat adalah kecil dan subsidi disalurkan secara tersasar melalui Fleet Card.
  • SKPS dibangunkan berasaskan pendekatan sama seperti SKDS, dengan fokus memastikan subsidi petrol RON95 sampai kepada kumpulan sasar, termasuk pengguna yang layak membeli pada harga RM1.99 seliter bermula 30 September.
  • Pengguna boleh menyemak kelayakan BUDI95 di laman web www.budimadani.gov.my mulai Khamis, dan pengisian di pam minyak akan menggunakan MyKad untuk pengesahan, dengan resit menunjukkan nilai subsidi dan jumlah bayaran sebenar.


Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menegaskan SKPS dibangunkan berasaskan pendekatan sama seperti Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang sebelum ini dilaksanakan bagi memastikan ketelusan serta ketepatan dalam pengagihan subsidi.

"Seperti mana kita buat untuk SKDS, fokusnya adalah memastikan subsidi benar-benar sampai kepada kumpulan sasar. SKDS ditumpukan kepada sektor pengangkutan awam dan logistik dengan kriteria yang jelas. Perkara yang sama kita guna pakai untuk SKPS.

"Bagi sektor logistik, kita sudah mengenal pasti jenis kenderaan yang layak untuk menerima Fleet Card. Dengan kemudahan ini, mereka boleh membeli petrol pada harga semasa RM2.05 seliter," katanya pada taklimat media berhubung Budi MADANI RON95, di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah menegaskan jumlah kenderaan yang terbabit dalam skim berkenaan juga agak kecil dan terhad, justeru tidak wajar memberi kesan ketara kepada harga barangan di pasaran.






“Kalau kita lihat, dari segi penggunaan petrol dalam sektor logistik, hanya sekitar 100,000 kenderaan sahaja yang terkesan menerusi skim SKPS. Ia tidak meluas seperti subsidi lain," katanya.

Dalam pada itu, Amir Hamzah memaklumkan, rakyat boleh menyemak kelayakan Budi MADANI RON95 (BUDI95) bermula Khamis ini melalui laman web www.budimadani.gov.my.

Menurutnya, bagi pengisian di pam minyak, pengguna hanya perlu memasukkan MyKad ke dalam 'reader' untuk mengesahkan kelayakan.

"Bayaran boleh dibuat sama ada secara tunai, kad kredit/debit atau e-dompet dan aplikasi.

Katanya, selepas selesai mengisi petrol, resit akan menunjukkan nilai transaksi pada harga pam, nilai subsidi ditanggung kerajaan dan jumlah yang dibayar pengguna pada harga RM1.99.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan petrol RON95 pada harga RM1.99 bermula 30 September ini bagi rakyat tempatan.

Beliau berkata, bagi bukan warganegara pula, harga RON95 adalah pada RM2.60 bermula tarikh sama.







#Amir Hamzah Azizan #RON95 #SKDS #mykad #BUDI95