PETALING JAYA: Seorang wanita didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, kerana menyediakan klinik pergigian swasta yang tidak didaftarkan, enam tahun lalu.
Hakim, Syahliza Warnoh memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan mewakili Nurul Syafiqaa Ali, 27, gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Advertisement
Bagaimanapun, wanita itu selaku orang kena saman (OKS) dihantar ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman selama 12 bulan selepas gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan pindaan, wanita itu didakwa menyediakan klinik pergigian swasta yang tidak didaftarkan di bawah Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998, di Puchong Prima, di sini jam 2.30 petang pada 6 April 2021.
Dia dituduh mengikut Seksyen 4(1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5(1) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM300,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, pada 6 April 2021, sepasukan pegawai Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor menyerbu sebuah premis di Puchong Prima selepas menerima maklumat mengenai operasi klinik pergigian swasta yang tidak berdaftar.
Ketika serbuan, OKS sedang memberikan rawatan pemasangan pendakap gigi kepada seorang wanita.
Pemeriksaan mendapati dia gagal mengemukakan bukti pendaftaran klinik pergigian serta perakuan tahunan sebagai pengamal pergigian berdaftar. -Sinar Harian