ISKANDAR PUTERI: Perlu ada keseimbangan yang tepat antara keperluan merancakkan ekonomi, serta kebimbangan rakyat tentang penularan COVID-19, sebelum keputusan membuka sempadan negara boleh dicapai, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Biarpun semakin lama COVID-19 semakin menjadi sebahagian daripada hidup, namun beliau menegaskan, masih ramai yang meminta kerajaan untuk lebih tegas dalam mengawal penularan virus tersebut.

Perdana Menteri berkata, biarpun ramai pihak membuat pandangan tentang keperluan membuka semula sempadan, beliau memberi jaminan perkara itu akan diteliti sebaik-baiknya oleh Kabinet.

“COVID-19 akan jadi seperti penyakit lain, seperti selsema, denggi, yang kita tak sekat pun, tetapi ambil tindakan diri sendiri. Jadi COVID-19 ini dah pun jadi sebahagian dari kehidupan kita, cuma tak semua orang berani menerima hakikat tersebut.

“Ada yang masih takut, minta kita kawal pergerakan dan sebagainya. Jadi kerajaan kena ada pertimbangan, perlu mengimbangkan antara kedua-duanya (tuntutan buka sempadan, dan kerisauan rakyat),” katanya lagi.

Perdana Menteri berkata demikian kepada sidang media selepas selesai melancarkan Program Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan gesaan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dibuka semula sempadan negara.

Bekas Perdana Menteri, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, pembukaan sempadan itu penting untuk pemulihan ekonomi negara, khususnya bagi sektor perniagaan dan pelancongan.

Muhyiddin berkata, saranan itu susulan perbincangan MPN dengan semua pihak termasuk KKM sendiri, dan berharap Perdana Menteri bersetuju dengan cadangan membuka sempadan negara seawal 1 Mac ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, memang ada negara yang sudah meringankan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan penjarakan sosial, namun ada pihak yang meminta kerajaan untuk lebih tegas dalam urusan pengawalan COVID-19.

Katanya lagi, beliau memahami kepentingan saranan MPN itu, kerana majlis itu juga mengambil berat tengan usaha memulihkan ekonomi negara, termasuk sektor pelancongan dan perhotelan yang terjejas teruk akibat COVID-19.

“Dalam negara kita, memang kita kawal. Yang datang dari luar, tahap kawalan di negara mereka, ini yang membimbangkan. Jadi kita akan imbangkan dua perkara ini, dan KKM akan bentangkan kabinet tentang cadangan mereka.

“Jadi ada cadangan MPN sendiri, kerana MPN ini tujuannya untuk pulihkan ekonomi, yang paling terjejas ialah pelancongan, hotel, kalau boleh nak buka semula ekonomi, supaya pendapatan sektor boleh (dijana semula).

“Tetapi kita telah perlu lindungi rakyat. Kita dah beri tempoh dalam masa dua tiga minggu untuk Kementerian Kesihatan bentangkan cadangan mereka,” katanya lagi.