MALAYSIA

Bukan 90, tetapi 551 pusat kuarantin telah diwartakan - Ismail Sabri

Hasimi Muhamad 05/04/2020 | 09:38 MYT
Menteri Kanan (Keselamatan) itu berkata demikian bagi membetulkan laporan kurang tepat sebelum ini berhubung jumlah pusat kuarantin yang diwartakan di seluruh negara. - Gambar BERNAMA
Sebanyak 107 daripada 551 pusat kuarantin telah beroperasi di seluruh negara setakat Sabtu bagi menempatkan individu-individu yang dikuarantin, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Kanan (Keselamatan) itu berkata demikian bagi membetulkan laporan kurang tepat sebelum ini berhubung jumlah pusat kuarantin yang diwartakan di seluruh negara.

“Semalam (Sabtu) dilaporkan bahawa 90 pusat kuarantin telah dibuka, itu kenyataan saya. Tetapi ditambah lagi bahawa ia akan menampung 40,000 rakyat kita yang dikuarantin.

“Sebenarnya tak betul (laporan tersebut), bukan 90 pusat untuk menampung 40,000.

“Sebenarnya sebanyak 551 pusat kuarantin telah diwartakan oleh kerajaan dan 551 pusat kuarantin ini lah yang saya nak tekankan mampu menawarkan 40,000 (tempat) kepada sesiapa sahaja yang dihantar ke pusat kuarantin,” katanya dalam sidang media harian, di sini pada Ahad.


Dalam pada itu, beliau turut menafikan dakwaan kononnya golongan gelandangan di ibu negara terbiar ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) .

Sebaliknya, menurut Ahli Parlimen Bera itu kebajikan golongan tersebut sentiasa terbela termasuk penyediaan tempat tinggal.

“Ramai yang beranggapan bahawa gelandangan masih terbiar di Kuala Lumpur.

An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.

“Suka saya nak nyatakan bahawa pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menempatkan gelandangan-gelandangan tersebut di tiga lokasi penempatan yang diwujudkan oleh DBKL.

“Mereka diberikan makanan dan sebagainya. Jadi, tidak timbul isu gelandangan masih terbiar,” jelasnya.


#COVID-19 #DBKL #gelandangan #Kuala Lumpur #Menteri Kanan Keselamatan #Parlimen #pusat kuarantin