Bukan bas mini lama - Rapid KL bus

Bernama
Ogos 30, 2019 00:43 MYT
Muhammad Yazurin berkata, bas yang digunakan sekarang bersaiz besar dan susah untuk sampai ke kawasan berpenduduk padat dan berlaluan sempit seperti di kawasan PPR. --fotoBERNAMA
Bas mini yang akan diperkenalkan semula di ibu negara bukan seperti bas-bas mini merah jambu yang warga kota lazim dengannya 25 tahun yang lepas, yang padat dan tidak berhawa dingin.
Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd Muhammad Yazurin Sallij berkata tempoh percubaan dari 1 Sept hingga 29 Nov itu di Route T300 akan menggunakan bas mini baru bersaiz lapan meter panjang, lengkap dengan penghawa dingin dan bukan bas-bas lama seperti yang viral sejak Rabu.
Bas berkapasiti 27 tempat duduk penumpang itu dijangka dapat menjimatkan masa perjalanan antara 15 minit dan 20 minit dalam laluan percubaan itu antara Hab Bukit Indah ke Ampang Point selain dapat meningkatkan kekerapan perjalanan kepada 15 kali sehari, katanya kepada pemberita pada sesi taklimat dan previu mengenai percubaan perkhidmatan bas mini Rapid KL di sini, pada Khamis.
"Sekarang, yang digunakan adalah bas bersaiz besar dan susah untuk sampai ke kawasan berpenduduk padat dan berlaluan sempit seperti di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR). Kerap kali kita terlewat daripada jadual kerana masalah kereta yang diparkir di tepi jalan.
"Dengan bas mini ini, kita harap dapat meningkat dan memperbaiki perkhidmatan di kawasan-kawasan itu selepas semua data dikumpul sepanjang tiga bulan itu," katanya.
BACA: Bas mini kembali ke Kuala Lumpur selepas 21 tahun
Mengulas lanjut, selain faktor penjimatan masa, Rapid KL juga akan menilai penjimatan terhadap kos penyelenggaraan dan penggunaan bahan api dengan menggunakan bas mini itu berbanding bas yang berkapasiti lebih besar.
"Setakat ini, bas di bawah kendalian Rapid KL adalah bersaiz 12m panjang bagi bas dua tingkat dan satu tingkat serta 10m panjang bagi bas perantara ke stesen MRT," katanya.
BACA: Pengenalan bas mini untuk kawasan kurang penumpang
Sepanjang tempoh percubaan itu, Muhammad Yazurin menjelaskan tiada perubahan ke atas sistem dan kadar tambang serta hentian bas dengan kadar tambang dikekalkan sebanyak 80 sen secara pembayaran elektronik sepenuhnya dengan menggunakan kad My50 dan My100.
"Kami mengalu-alukan maklum balas daripada pengguna sepanjang tempoh perkhidmatan percubaan itu dengan menghubungi Rapid KL Helpline di talian 03-7885 2585 atau menghantar e-mel kepada suggest@rapidkl.com.my," katanya.
-- BERNAMA
#Bas merah jambu #bas mini #bukan bas lama #hentian bas #kadar tambang #Kuala Lumpur #Muhammad Yazurin Sallij #pembayaran elektronik #penghawa dingin #Rapid KL #tempoh percubaan #viral