KEPALA BATAS: Polis mengesahkan insiden seorang murid perempuan yang dilarikan di hadapan sebuah sekolah, di Kepala Batas, Pulau Pinang pada Jumaat bukan kes culik sebaliknya ia adalah kes perebutan anak.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad  memaklumkan insiden berkenaan bukanlah kes culik seperti yang didakwa dalam satu video tular di media sosial.

Beliau berkata, polis menerima laporan daripada seorang wanita pada jam 1.30 tengah hari Khamis, yang  memaklumkan cucunya berusia sembilan tahun dilarikan bekas menantunya dengan menaiki sebuah kereta.

Mohd Radzi berkata, kejadian berkenaan tersebut menjadi tular dan orang ramai menyangka ia adalah kejadian culik.

Hasil siasatan polis mendapati kejadian berlaku ketika kanak-kanak terbabit pulang dari sekolah dan ia sebenarnya melibatkan kes perebutan anak (mangsa).

“Dalam kejadian itu, pengadu (nenek mangsa) yang mengalami kecederaan datang ke balai polis untuk membuat laporan bagi siasatan selanjutnya.

“Kes perebutan hak penjagaan kanak-kanak itu berlaku sejak ibu bapa mangsa berpisah pada 2013 dan proses tuntutan masih lagi dalam perbicaraan di mahkamah,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohd Radzi berkata, suspek turut membuat laporan polis menyatakan mangsa kini selamat berada di bawah jagaannya dan menyerahkan perkara itu kepada pihak peguam serta polis bagi menjalankan siasatan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan beliau turut menasihatkan orang awam tidak  membuat sebarang spekulasi tidak benar berkaitan video yang telah tular.

Sebelum ini, tular dua klip video masing-masing berdurasi satu minit 30 saat yang dimuatnaik seorang pemilik akaun Facebook di media sosial berhubung insiden berkenaan.

Video pertama memaparkan seorang wanita tersembam di atas jalan ketika cuba berlari mendapatkan semula cucunya yang ketika itu ingin dibawa lari bekas menantunya dengan menaiki sebuah kereta berwarna hitam.

Manakala video kedua pula memaparkan suami wanita itu turut pergi ke arah kereta terbabit untuk menghalang bekas menantunya membawa lari kanak-kanak berkenaan.