Skip to main content

Malaysia

Bukan kes tembakan tapi operasi tangkap suspek samun, ragut - Polis

Tangkap layar video tular yang dikatakan berlaku kes tembakan di Nilai pada -- SINAR HARIAN
Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau membuat spekulasi berkaitan video tular tersebut yang boleh menimbulkan kegusaran awam.

NILAI: Polis menafikan berlaku kejadian tembakan berdekatan Dataran Nilai di sini pada Sabtu sebaliknya penahanan sekumpulan suspek yang terlibat dalam samun dan ragut.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, empat suspek termasuk seorang wanita ditahan selepas didapati terbabit kes samun di Johor.

"Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai telah mengesan satu video tular di aplikasi media sosial yang memaparkan satu operasi tangkapan oleh pasukan polis di Dataran Nilai, Putra Point di sini.

"Polis ingin menegaskan bahawa tiada kejadian melepaskan tembakan berlaku semasa operasi tangkapan dijalankan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Jelas beliau, operasi tersebut hanya melibatkan tindakan menahan suspek yang cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan kecil sebelum kesemuanya berjaya ditahan.

Ujarnya, hasil operasi polis berjaya menahan tiga lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 22 hingga 28 tahun yang disyaki terlibat dalam kes samun dan ragut di Sagil, Tangkak, Johor.

"Pemeriksaan lanjut turut membawa kepada rampasan dua kenderaan termasuk sebuah Perodua Myvi yang dipercayai digunakan semasa kejadian, selain beberapa unit telefon bimbit dan barang-barang lain yang dipercayai berkaitan dengan kes yang disiasat

"Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau membuat spekulasi berkaitan video tular tersebut yang boleh menimbulkan kegusaran awam," katanya. - Sinar Harian

 

Must Watch Video

Advertisement