MALAYSIA
'Bukan mudah hapuskan tol' - Menteri KKR

Alexander mencadangkan agar kadar tol dikaji semula secara berperingkat, terutamanya selepas syarikat konsesi berjaya memperoleh pulangan pelaburan (ROI). - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) menjelaskan, pemansuhan tol bukanlah langkah yang mudah untuk dilaksanakan walaupun ia pernah menjadi sebahagian daripada manifesto pilihan raya oleh pihak tertentu sebelum ini.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, jika tol dihapuskan, kerajaan perlu menanggung kos penyelenggaraan yang sangat tinggi, dianggarkan mencecah bilion ringgit.
Memberitahu Dewan Rakyat, beliau berkata, dana untuk menanggung kos penyelenggaran lebuh raya sepatutnya dapat dimanfaatkan untuk pembangunan di negeri-negeri yang lebih memerlukan.
"Kita berpandangan bukan mudah nak hapuskan tol ini kerana kalau tol ini dimansuhkan, kerajaan kena pastikan mencari dana yang besar untuk buat kerja-kerja penyelenggaraan."Jadi, untuk tujuan ini memerlukan dana yang besar, berbilion-bilion ringgit. Kalau ia begini, kita boleh bayangkan dana kerajaan ini mungkin boleh digunakan untuk lain seperti di Terengganu, Kelantan, Sarawak, dan Sabah, yang mana mereka tidak menggunakan lebuh raya ini.
"Jadi pandangan saya mungkin kerajaan tengok begini sekarang (dan) kita tak perlu mansuhkan (tol)," katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) mengenai kesan jika tol dihapuskan seperti mana pernah menjadi manifesto pihak pembangkang ketika itu.
Menjawab lanjut, Alexander (GPS-Kapit) turut mencadangkan agar kadar tol dikaji semula secara berperingkat, terutamanya selepas syarikat konsesi berjaya memperoleh pulangan pelaburan (ROI).
"Cuma kalau tempoh singkat-singkat ini sudah mencapai keuntungan atau ROI mereka (syarikat konsesi), boleh lah masa itu nanti kadar tol yang dikatakan membebankan sekarang, diturunkan... Itu lebih praktikal dan realistik.
"Tetapi untuk menjawab mengapa tidak dimansuhkan, bagi saya ini lah pandangan... mungkin kita tak perlu mansuhkan demi kebaikan seluruh negara," ujarnya lagi.
Sementara itu, berhubung penangguhan kadar tol di 10 lebuh raya yang diumumkan kerajaan baru-baru ini, Alexander memaklumkan, jika ia tidak dilaksanakan, pengguna lebuh raya berkenaan akan merasai impak yang signifikan.
Katanya, kuantum kadar kenaikan bagi kenderaan kelas 1 berdasarkan perjanjian konsesi bagi 10 lebuh raya yang terlibat adalah antara RM0.50 hingga RM4.56 atau sebanyak 79 peratus hingga 83 peratus.
"Pelaksanaan penangguhan kenaikan kadar tol di 10 lebuh raya tersebut membolehkan pengguna terus menikmati kadar tol sedia ada, tanpa sebarang kenaikan dalam masa terdekat.
"Kerajaan perlu menanggung kos pampasan kepada syarikat konsesi lebuh raya dengan anggaran RM568.92 juta setahun. Walau bagaimanapun, penetapan jumlah pampasan sebenar yang perlu dibayar oleh kerajaan adalah tertakluk kepada jumlah trafik sebenar serta pengesahan Juruaudit Operasi pihak kerajaan dan syarikat konsesi," katanya.
Menurut Alexander lagi, penangguhan kenaikan kadar tol tersebut akan memberi manfaat kepada 941,000 pengguna yang menggunakan 10 lebuh raya terlibat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami