Bukan pendaratan cemas, juruterbang pilih mendarat susulan cuaca buruk - Pejabat KM

Bernama
Disember 18, 2021 10:59 MYT
Pejabat Ketua Menteri Sarawak menafikan laporan helikopter yang membawa Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan rombongan terpaksa melakukan pendaratan cemas di sini petang ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pejabat Ketua Menteri Sarawak menafikan laporan helikopter yang membawa Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan rombongan terpaksa melakukan pendaratan cemas di sini petang ini.
Menurut kenyataan Pejabat Ketua Menteri, tidak timbul isu pendaratan cemas seperti yang dilaporkan kerana juruterbang telah memilih untuk mendarat di Padang Kawad Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) susulan cuaca buruk kerana hujan lebat dan tahap penglihatan yang rendah selepas Ketua Menteri itu bersama rombongannya pulang dari Gedong.
Kenyataan itu turut mengesahkan bahawa semua penumpang selamat.
BACA: Cuaca buruk, helikopter bawa Ketua Menteri Sarawak mendarat cemas di Padang Kawad UNIMAS
Terdahulu, satu klip video berdurasi 30 saat, yang memaparkan helikopter itu membuat pendaratan cemas dalam keadaan cuaca buruk, tular di sosial media.
Abang Johari, yang merupakan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), adalah calon gabungan politik itu di kerusi Dewan Undangan Negeri Gedong pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12.
Pengundian hari ini berlangsung dalam keadaan cuaca yang agak buruk di beberapa kawasan pilihan raya.
- BERNAMA
#Abang Johari Tun Openg #helikopter Ketua Menteri #pilihan raya #cuaca buruk