Bukan sahaja Siti Nurhaliza, Sultan Pahang juga makan di sini..

Nursyazwani Saiful Sham
Ogos 2, 2018 10:09 MYT
Antara lauk-pauk yang disajikan Restoran SZ Rahmah di Batu 3, Jalan Maran, Temerloh buat santapan pengunjung yang datang.
Resepi turun temurun sejak 40 tahun lalu adalah rahsia restoran SZ Rahmah sering kali menjadi tumpuan penggemar ikan air tawar di Temerloh.
Walaupun sudah tiga generasi membangunkan restoran ini, mereka tidak pernah mengubah resepi tetapi mementingkan mutu dan bahan yang digunakan.
Menurut pemilik restoran, Siti Zainon Zakaria, beliau mementingkan kesempurnaan untuk memastikan pelanggan tempatan atau luar benar-benar menikmati hidangan yang disajikan.
Ketika ditemui Astro AWANI, Siti Zainon yang menggelarkan dirinya sebagai ‘Wan’, bersyukur atas permintaan yang tidak pernah putus walaupun sudah empat dekad.
“Perniagaan Wan masih lagi berkembang di kampung ni. Orang dari Kuala Lumpur, dari Kedah, Perak, Johor, Perak pun datang untuk rasa gulai tempoyak SZ Rahmah.
“Bahan dalam masakan yang wan pentingkan adalah tempoyak yang baik. Ikan patin yang kami gunakan adalah ikan patin buah sahaja,” katanya.
Bukan hanya orang biasa yang datang untuk menjamu selera, Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah juga pernah mencemar duli menikmati hidangan di restorannya itu.
Selain itu, selebriti terkenal seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza juga pernah berkunjung di restoran yang terletak di Batu 3, Jalan Maran itu.
Buat masa ini, Shaidatul Nalisa Mohd Nasir diberi amanah untuk meneruskan tradisi di restoran ini.
“Buat masa ini Alhamdulillah, sambutan memberangsangkan buat masa ini. Dalam sehari dalam lima hingga enam ekor dengan berat dua kilogram lebih dapat dijual.
“Selain itu kami juga hidang lauk lain seperti udang galah, ikan kelah goreng dan ayam goreng. Selalunya hidangan kami dihidangkan sehingga 12 atau 1 tengah hari,” katanya.
Biarpun restoran di Temerloh itu sentiasa penuh dengan pelanggan, beliau tidak bercadang untuk membuka cawangan di negeri lain kerana ingin menumpukan kepada perniagaan di sini.
#gulai tempoyak #ikan patin #Siti Zainon #Sultan Pahang #SZ Rahmah #temerloh