MALAYSIA

'Bukan saya, saya baru ‘clock in’ selepas Kamar Khas' - Kah Woh

Astro Awani 21/01/2026 | 09:20 MYT
Kah Woh menjelaskan, ketika insiden itu berlaku, beliau tidak berada di dalam Dewan Rakyat, sebaliknya menghadiri sesi Kamar Khas pada sebelah pagi dan hanya menyertai persidangan pada sesi petang. - Gambar fail/ BERNAMA
KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh tampil menjelaskan di Dewan Rakyat bahawa beliau bukan timbalan menteri yang dimaksudkan dalam teguran Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor.

Timbalan Menteri Pendidikan itu berkata, ketika insiden itu berlaku, beliau tidak berada di dalam Dewan Rakyat, sebaliknya menghadiri sesi Kamar Khas pada sebelah pagi dan hanya menyertai persidangan pada sesi petang.

"Saya baru ‘clock in’ selepas Kamar Khas,” katanya selepas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, membuat penjelasan berhubung insiden yang menimbulkan salah faham berkenaan.

Dalam sesi perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja, Johari memaklumkan, Kah Woh bukanlah timbalan menteri yang dimaksudkan dalam teguran dibuat Ramli.

"Saya hendak membuat pemakluman. Saya tidak mendengar apa yang berlaku dalam Dewan pada sebelah pagi, namun Timbalan Speaker menegur dua timbalan menteri yang berbual dalam Dewan.

"Beliau menyebut timbalan menteri Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

"Saya menerima nota daripada Timbalan Menteri KPM yang memaklumkan beliau tidak terbabit. Justeru, saya ingin memperbetulkan bahawa beliau tidak terbabit. Itu sahaja,” katanya.

Susulan penjelasan itu, Kah Woh bangkit mengucapkan terima kasih kepada Johari serta berharap rekod dan hansard Parlimen dapat diperbetulkan.

Johari kemudian memberi jaminan bahawa rekod Parlimen berkenaan akan diperbetulkan.

Dalam sesi sidang Dewan Rakyat pagi Rabu, Ramli menegur dua orang Timbalan Menteri yang dilihat berbual ketika Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjawab soalan berkait Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Parlimen.




#Johari Abdul #Kementerian Pendidikan #ahli parlimen kena tegur #speaker tegur ahli parlimen