KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang melaksanakan transformasi rentas disiplin dengan menerapkan Sains Sosial ke dalam bidang teknikal (STEAM) serta menyerap penggunaan kecerdasan buatan generatif (Gen-AI).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, perubahan itu penting bagi menghadapi perkembangan semasa yang berlaku secara dinamik dan pantas.
"Interdisciplinary approach dalam pelbagai bidang sudah pun diajar. Kita hari ini bercakap sebagai contoh dalam konteks STEM itulah yang kita duk fikirkan, tetapi apa yang berlaku di hadapan kita for the last 10 years sebenarnya sudah ada satu tambahan lagi di dalam subjek yang berkaitan dengan technical iaitu dari STEM jadi STEAM.
"STEAM maksudnya ada A di situ, tambahan Arts maknanya ada social sciences approach dalam bidang-bidang teknikal," kata Zambry.
Beliau berkata demikian semasa sesi dialog Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 13 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, di sini pada Rabu.
Mengulas mengenai teknologi AI, Zambry menjelaskan sifat teknologi tersebut kini jauh berbeza berbanding alat bantuan komputer konvensional sebelum ini.
"Generative AI ini pula, bulan lagi hanya menjadi alat (tool). Kalau selama ini kita menganggap komputer dan sebagainya yang hanya sebagai tool biasa yang ada di hadapan kita, Generative AI itu lebih bersifat ejen. Maksudnya ia membantu kita berfikir meski dalam masa sama kita tidak mahu sistem itu mengawal kita, tapi itulah yang berada di hadapan kita," jelas beliau.
Selain universiti, Zambry mengumumkan bahawa institusi politeknik juga kini diberi anjakan besar agar mampu mengeluarkan graduan peringkat ijazah.
"Ketika mana kita membicarakan perubahan pendidikan tinggi ini, ada satu institusi yang sangat penting sebenarnya, yang perlu juga kita lihat. Iaitulah politeknik. Maka sudah sampai masanya, politeknik juga perlukan anjakan yang besar dan menyeluruh.
"Kerana politeknik sekarang ini bukan melahirkan manusia yang hanya mendapat sijil, tetapi juga sudah pun sampai ke satu tahap... mereka yang akan bergraduan dengan segulung ijazah," tambah Zambry.
Sementara itu, Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM), Academician Datuk Tengku Mohd Azzman Shariffadeen menyifatkan peranan sistem pendidikan adalah melahirkan pelajar yang berdikari.
"What is the success factor of any education system is the learner. How is the learner managing him or herself in the changing world," tegas Tengku Mohd Azzman.
Perubahan struktur pengajian ini digerakkan bagi membolehkan graduan tempatan berdaya tahan dan berdikari dalam landskap pasaran kerja global.