Skip to main content

Malaysia

Bukan sekadar gambar, KPW26 angkat seni fotografi bercerita

Bertemakan Work In Progress (WIP), festival itu turut membuka ruang kepada pengkarya memperlihatkan proses kreatif di sebalik sesebuah karya.
Bertemakan Work In Progress (WIP), festival itu turut membuka ruang kepada pengkarya memperlihatkan proses kreatif di sebalik sesebuah karya.

Advertisement

KUALA LUMPUR: Fotografi bukan lagi sekadar merakam detik atau menggantung gambar di dinding galeri, sebaliknya berkembang menjadi medium penceritaan yang menggabungkan bunyi, visual dan pengalaman pengunjung.

Pendekatan itu diketengahkan menerusi Kongsi Photo Week 2026 (KPW26) yang menghimpunkan 29 pengkarya dari Malaysia dan Indonesia di Art Depot, Balai Seni Negara, dari 1 hingga 11 Oktober lalu.

Pengarah merangkap kurator KPW26, Syaiful Redzuan Md Nor berkata, festival itu mahu mengubah cara masyarakat menikmati fotografi dengan menjadikan setiap karya lebih daripada sekadar bahan tontonan.

“Pendekatan yang kami bawakan tidak hanya melihat pengunjung sebagai penonton gambar semata-mata, sebaliknya elemen bunyi, instalasi dan visual turut digunapakai bagi membolehkan pengunjung mengalami sesuatu cerita secara lebih menyeluruh,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan hari ini.

Image
Sumber: Kongsi Hub KL
Pengarah merangkap kurator KPW26, Syaiful (berbaju hitam) berkongsi pandangan mengenai karya fotografi bersama pengunjung di Art Depot, Balai Seni Negara, Kuala Lumpur.

Bertemakan Work In Progress (WIP), festival itu turut membuka ruang kepada pengkarya memperlihatkan proses kreatif di sebalik sesebuah karya, sekali gus mencabar tanggapan bahawa fotografi hanya berakhir pada imej yang siap dicetak.

Antara tarikan utama ialah kehadiran pasangan penerbit buku foto mandiri dari Indonesia, Andi Ari Setiadi dan Caron Toshiko daripada Guearigaleri, yang berkongsi kepakaran menerusi bengkel Photobook Dummy Workshop.

Festival itu turut menampilkan pemenang utama Book Photographer of the Year, Yuji Haikal, yang berkongsi pengalaman dan cabaran menghasilkan naskhah fotografi peribadi, selain tayangan siri gambar Angkor Hangover.

Pengunjung juga disajikan filem pendek arahan Dr. Adam Taufiq Suharto, termasuk KL Limbo, Kuala Lain dan Sesudah Taiping, yang memperluas pengalaman seni visual melangkaui fotografi konvensional.

Dianjurkan KongsiHubKL menerusi inisiatif Kongsi.Seni dengan kerjasama Balai Seni Negara, festival itu turut menghidupkan sesi Kongsi.Cerita, Kongsi.Gambar, Kongsi.Layar dan Kongsi.Buku sebagai ruang interaksi antara pengkarya dengan masyarakat.

Penganjuran yang turut menerima kunjungan delegasi ASEAN Artpreneur Retreat 2026 itu memperlihatkan bagaimana fotografi mampu menjadi jambatan antara seni, dokumentasi dan komuniti, tanpa terikat pada bingkai gambar semata-mata.


 

Must Watch Video

Advertisement