Bukan semua tindakan merotan akan dikategorikan sebagai kesalahan jenayah.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam satu kenyataan media malam ini menjelaskan bahawa peruntukan yang dicadangkan dalam Rang Undang-Undang Kanak-Kanak baharu itu bukanlah bermaksud supaya setiap perbuatan merotan menjadi kesalahan jenayah.

Tambah kenyataan itu lagi, di bawah rang undang-undang baharu yang dicadangkan, ia hanya dianggap sebagai kesalahan jenayah jika tindakan itu menyebabkan kecederaan fizikal atau mental.

“Kementerian telah meneliti perlakuan merotan kanak-kanak di kalangan masyarakat Malaysia.

“Perlakuan merotan, sekiranya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal atau mental boleh terjumlah kepada melakukan kesalahan jenayah.

Malah, menurut kenyataan itu lagi, mengikut undang-undang sedia ada, perlakuan itu boleh dikenakan hukuman penjara dan denda.

“Di bawah undang-undang sedia ada pun, sebenarnya perbuatan itu telah dijadikan suatu kesalahan di bawah seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum dengan penjara selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau denda tidak melebihi dua puluh ribu atau kedua-duanya,” kenyataan itu menyebut.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa pihak kementerian sedang meneliti dan memperhalusi cadangan untuk memasukkan peruntukan undang-undang lebih terperinci supaya apa bentuk perbuatan yang menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi boleh dikenakan hukuman penjara atau denda yang lebih tinggi.

Kenyataan media tersebut dikeluarkan susulan luahan rasa tidak puas hati masyarakat terhadap apa yang dilaporkan sebagai kenyataan daripada menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim semalam berhubung Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).

Dalam pada itu, pihak kementerian membentangkan bahawa cadangan di dalam Rang Undang-Undang Kanak-Kanak baharu itu akan merangkumi perkara-perkara berikut:
i. Penyertaan kanak-kanak selaras dengan prinsip Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (Convention on the Rights of the Child, CRC);
ii. Pemansuhan hukuman sebatan ke atas kanak-kanak yang berkonflik dengan undang-undang (melakukan kesalahan jenayah);
iii. Peruntukan baharu yang membolehkan pelaksanaan konsep diversion; dan
iv. Peruntukan baharu mengenai pelaksanaan deinstitutionalisation.

Kementerian terbabit juga akan mempertimbang mengadakan hukuman alternatif seperti khidmat masyarakat atau kaunseling atau kursus keibubapaan.