MALAYSIA
Bukan soal bagaimana kita bertahan, tetapi bagaimana kita hidup bersama - Sultan Nazrin
Sultan Nazrin berkenan bertitah pada Persidangan Antarabangsa Masyarakat Bersepadu (ICCS) Ke-3 yang berlangsung di Singapura pada Rabu. - Gambar Kementerian Kebudayaan, Komuniti dan Belia Singapura
SINGAPURA: Cabaran terbesar dunia masa kini bukan lagi sekadar bertahan dalam ketidaktentuan global, tetapi keupayaan untuk hidup bersama secara bermakna dan adil.
Demikian inti pati titah disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Persidangan Antarabangsa Masyarakat Bersepadu (ICCS) Ke-3 yang dihadiri perwakilan antarabangsa yang terdiri daripada pembuat dasar, pemimpin masyarakat sivil dan ahli akademik yang berlangsung di Singapura hari ini.
Sultan Nazrin yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong menekankan bahawa dunia kini berdepan krisis bertindih yang berpanjangan termasuk gangguan digital, polarisasi, migrasi besar-besaran dan ketidaksamaan ekonomi.
“Ketidaktentuan adalah keadaan yang sedang kita lalui dan 'ribut' ini dijangka berterusan. Ujian sebenar ialah sama ada kita akan berpecah atau mencari jalan untuk terus bersatu,” titah baginda.
Tiga pemangkin ketidaktentuan global
Titah Sultan Nazrin, tiga trend global yang dikenal pasti menghakis keharmonian sosial ialah:
1. Jurang digital dalam rasa kebergantungan
Baginda mengakui, manfaat digital seperti akses maklumat dan solidariti maya, namun turut memberi amaran bahawa platform digital semakin memecahbelahkan masyarakat.
“Teknologi yang menjanjikan keterangkuman boleh juga mengukuhkan pengasingan,” titah baginda, merujuk kepada kebencian dalam talian, teori konspirasi dan hakisan kebenaran.
2. Dilema migrasi global
Dengan lebih 300 juta migran antarabangsa dan jumlah itu dijangka meningkat akibat krisis iklim dan konflik, baginda menyifatkan, migrasi sebagai cabaran dari segi infrastruktur dan belas ihsan.
“Kita mesti berusaha untuk memupuk keterangkuman dan integrasi. Kepelbagaian budaya adalah antara kekuatan terbesar Malaysia,” titah baginda, sambil merujuk kepada Rukun Negara sebagai model perpaduan dalam kepelbagaian.
3. Kesan tidak seimbang globalisasi
Sultan Nazrin turut menekankan bahawa walaupun globalisasi telah memajukan banyak negara, ia juga meninggalkan banyak komuniti yang terpinggir.
“Ketidaksamaan yang melampau melemahkan keharmonian sosial dan akhirnya mencetuskan konflik,” titah baginda.
Empat prinsip panduan untuk masyarakat global yang lebih bersepadu
Sebagai Penaung Pusat Kajian Asia Tenggara Universiti Oxford, Sultan Nazrin mencadangkan empat prinsip utama:
- Memulihkan kepercayaan terhadap institusi awam dan wacana sivik melalui ketelusan dan integriti digital.
- Mengutamakan kesaksamaan dengan menangani ketidakadilan manusia dan alam sekitar secara serentak.
- Menghayati kepelbagaian dengan menolak politik berasaskan ketakutan dan meraikan kepelbagaian sebagai kekuatan.
- Berani berimaginasi melalui pendidikan beretika, reka bentuk bandar inklusif dan kepimpinan bermoral.
“Kepimpinan hari ini bukan tentang meramal masa depan. Ia tentang mencipta ruang untuk perbezaan tanpa tunduk kepada perpecahan,” titah baginda.
Sultan Nazrin turut memuji kejayaan relatif Asia Tenggara dalam memupuk keharmonian sosial.
Merujuk kepada Social Cohesion Radar terkini, baginda menyatakan bahawa Singapura dan Malaysia mencatat kedudukan tinggi dalam ukuran kepercayaan dan daya tahan komuniti, termasuk semasa pandemik.
Mengakhiri titahnya, baginda menyeru masyarakat antarabangsa agar melihat ketidaktentuan bukan sebagai halangan, tetapi sebagai peluang untuk membina masa depan yang berteraskan keadilan, empati dan kerjasama.
“Ketidaktentuan akan terus wujud, tetapi seperti kata pepatah, kita tidak boleh mengubah arah angin, namun kita boleh melaraskan layar,” titah baginda.
Persidangan ICCS yang diasaskan di bawah naungan bekas Presiden Singapura, Halimah Yacob terus menjadi platform global untuk dialog memperkukuh keharmonian sosial dalam dunia yang semakin berpecah.
#Sultan Nazrin Shah
#cabaran dunia
#gangguan digital
#polarisasi
#Persidangan Antarabangsa Masyarakat Bersepadu