MALAYSIA
Bukit Aman, Polis KL kerjasama kesan suspek kes tembakan di Brickfields, Cheras
Polis berkata bagi kes di Cheras, siasatan turut melibatkan semakan motif kejadian bersama JSJ Kontinjen Sarawak. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Kuala Lumpur sedang bekerjasama bagi mengesan suspek yang dikaitkan dengan dua kes tembakan berasingan di Brickfields dan Cheras, di sini, baru-baru ini yang mengorbankan dua individu.
Ringkasan AI
- Polis Kuala Lumpur dan Bukit Aman sedang bekerjasama mengesan suspek dua kes tembakan berasingan di Brickfields dan Cheras yang mengorbankan dua individu.
- Siasatan kes Cheras turut melibatkan JSJ Kontinjen Sarawak kerana dipercayai berkaitan aktiviti penyeludupan di Sibu, namun fotofit suspek tidak dapat dilakukan kerana mereka memakai topeng dan topi.
- Insiden di Brickfields berlaku pada 13 Jun melibatkan tembakan ke arah sekumpulan lelaki di restoran, manakala kes kedua berlaku pada 16 Jun di hadapan kedai serbaneka di Jalan Loke Yew.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata siasatan terhadap kedua-dua kes masih diteruskan.
Katanya bagi kes di Cheras, siasatan turut melibatkan semakan motif kejadian bersama JSJ Kontinjen Sarawak.
"Fotofit tidak dapat dijalankan oleh saksi yang berada di kedua-dua lokasi kejadian kerana suspek dalam kes Cheras memakai topeng muka, manakala suspek di Brickfields memakai topi," katanya.
Media sebelum ini melaporkan dua lelaki menaiki motosikal melepaskan beberapa das tembakan ke arah sekumpulan lelaki yang sedang makan di sebuah restoran di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields, menyebabkan seorang maut dan dua lagi cedera dalam kejadian kira-kira 10.50 malam, 13 Jun lepas.
Sementara itu pada 16 Jun, seorang lelaki maut akibat ditembak di hadapan sebuah kedai serbaneka di Jalan Loke Yew, Cheras. Siasatan awal polis mendapati kejadian dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti penyeludupan di Sibu, Sarawak.
-- BERNAMA