KUALA LUMPUR: Bukit Aman mengesahkan satu kertas siasatan berhubung video dan mesej lucah yang tular di aplikasi Telegram yang didakwa melibatkan seorang pendakwah terkenal telah dibuka.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, siasatan telah dijalankan dan tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 (Penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian).

“Orang ramai dinasihatkan agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform terbabit sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam, menggugat keharmonian negara dan menjejaskan siasatan,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, katanya sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes tersebut diminta untuk menyalurkannya kepada Superintendan Junainah M. Kasbolah, Ketua Unit Siasatan Jenayah Terkelas (KUSJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman atau Inspektor Mohd Khabir Mohd Afandi, Pegawai Penyiasat Kes di talian 03-2266 6071.