Kerajaan Persekutuan tidak bercadang mengisytiharkan daerah Bukit Merah dekat Taiping sebagai kawasan bencana susulan paras air di Tasik Bukit Merah berada pada tahap kritikal.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai implikasi termasuk aspek perundangan dan kewangan.

"Kerajaan sedia maklum dan prihatin dengan keadaan yang berlaku di Tasik Bukit Merah. Bagaimanapun, pengisytiharan tidak dibuat selepas mengambil kira aspek perundangan dan pampasan yang perlu dibuat kepada petani," katanya ketika ditemui selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat High Level Committee (HLC) Pengurusan Bencana Pusat di Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.

Ahmad Zahid bagaimanapun memaklumkan pihak kerajaan tetap akan membantu kerajaan Perak menangani masalah bekalan air di Bukit Merah termasuk memasang paip untuk disalurkan ke Tasik Bukit Merah.

Selain itu, kerajaan juga tidak menolak untuk meninggikan tambatan sungai serta mempertimbangkan langkah mendalamkan dasar Tasik Bukit Merah di masa hadapan.

"Terdapat pelbagai langkah boleh diambil termasuk mendalamkan dasar tasik berkenaan supaya berupaya menyimpan kuantiti air yang lebih di masa depan. Namun perkara ini perlu diteliti lebih mendalam memandangkan ia memerlukan kos yang besar," katanya lagi.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Kadir sebelum ini melahirkan kebimbangan berhubung penyusutan mendadak paras air empangan Tasik Bukit Merah malah berhasrat memohon kerajaan Persekutuan mengisytiharkan daerah terlibat sebagai kawasan bencana.

Zambry turut menggesa agar langkah segera digerakkan bagi membantu pesawah terjejas yang mengusahakan hampir 5,000 hektar sawah padi di sekitar kawasan Semanggol dan Selinsing.

Terdahulu, Zambry dilaporkan berkata keputusan sama ada pengisytiharan kawasan bencana akan dibuat atau tidak bergantung kepada keadaan cuaca jika masih tiada hujan dalam tempoh terdekat.