[TERKINI] Syed Saddiq Dilepas dan Dibebaskan | Mahkamah Rayuan Ketepikan Sabitan Kes Dana Armada – Klik untuk Laporan Penuh
MALAYSIA

Buktikan sokongan di Parlimen - Anwar Ibrahim

Ridauddin Daud 29/07/2021 | 10:30 MYT
Datuk Seri Anwar Ibrahim bidas kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mendakwa kerajaan masih dapat sokongan daripada lebih 110 Ahli Parlimen. - Gambar ihsan pejabat Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mendakwa kerajaan masih mendapat sokongan daripada lebih 110 Ahli Parlimen.
Tegas Ahli Parlimen Port Dickson itu, sebagai individu yang cakna dengan undang-undang, Ismail Sabri sepatutnya membuktikan kenyataan beliau menerusi undian di dalam Dewan Rakyat.
Tambah Anwar, dengan apa yang berlaku ketika ini, krisis Perlembagaan negara sudah sampai ke tahap kemuncak.
“Orang seperti ini, berkeras, berdegil untuk derhaka kepada soal yang jelas, saya nak nasihatkan dia. Baca undang-undang, hormati Perlembagaan dan hormati titah Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Parlimen selepas pengumuman Mesyuarat Khas Parlimen Penggal Ke-14 pada Khamis ditangguhkan.
Ismail Sabri pada Khamis mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih mempunyai majoriti sokongan daripada Ahli Parlimen.
Anwar bidas, gesa bukti sokongan di Parlimen
Dalam kenyataan medianya, beliau yang juga Ketua Whip kerajaan berkata, situasi politik negara pada hari ini dalam keadaan tidak stabil yang boleh menjejaskan usaha menyelesaikan masalah ekonomi dan memerangi pandemik COVID-19.
“Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan masih mendapat sokongan melebihi 110 Ahli-Ahli Parlimen yang masih bersama-sama kerajaan pada hari ini.
“Justeru, saya berharap rakyat bertenang di dalam menghadapi situasi terkini dan sama-sama kita berdoa agar kemelut politik ini berakhir dengan segera,” kata Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera.
#Anwar Ibrahim #ismail sabri yaakob #Ketua Pembangkang #Timbalan Perdana Menteri #TPM #Dewan Rakyat #Parlimen #pembangkang #undang-undang #Yang di-Pertuan Agong #Agong