MALAYSIA
Buktikan terlebih dahulu tiada unsur jenayah dalam 1MDB - Dr Mahathir

Dr Mahathir menegaskan tiada siasatan boleh diadakan ke atas 1MDB selagi Najib Razak masih Perdana Menteri Malaysia. - Gambar Fail
Jika boleh dibuktikan bahawa tiada jenayah yang berlaku di dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan semua wang (yang hilang) dikembalikan, maka Datuk Seri Najib Razak boleh kembali menjawat jawatan Perdana Menteri dan memimpin Barisan Nasional dalam pilihan raya akan datang.
Sehingga saat itu, Najib perlu meletakkan jawatan dan membenarkan siasatan penuh dibuat terhadap pinjaman RM42 bilion yang dibuat oleh 1MDB, kata Tun Dr Mahathir Mohamed.
Dalam catatan blog (chedet.cc) terbarunya hari ini, bekas perdana menteri itu berkata, selagi Najib menerajui negara ini, tidak akan ada siasatan yang boleh dibuat.
"Kita sudah lihat bukan sahaja laporan kepada polis terhadap 1MDB dan Jho Low tidak disiasat, tetapi orang yang membuat laporan itu diisytiharkan muflis ... disiasat kerana penyelewengan wang haram dan pembiayaan pengganas. Mahkamah telah memutuskan dia tidak muflis,” tulis Dr Mahathir.
Beliau berkata krisis 1MDB wujud kerana Najib, di mana sebagai PM bertindak sebagai ketua strategik pembangunan syarikat, dan telah membenarkan peminjaman wang berjumlah besar dan kemudian kehilangan berbilion Ringgit.
"Perdana Menteri kata saya di belakang krisis.
"Saya akui bahawa saya di sebalik 'krisis' itu. Saya di belakang semua ini (krisis) kerana ada suasana ketakutan di negara ini.
"(Tetapi) Dengan menuduh saya bertanggungjawab terhadap krisis itu, Najib seolah berkata marilah kita terima kehilangan berbilion ringgit ini dan berkelakuan seolah-olah tiada yang salah telah berlaku.
"Dari keprihatinan yang ditunjukkan oleh rakyat atas kerugian yang dialami oleh 1MDB, perkara itu tidak boleh diabaikan.
"Orang-orang yang bertanggungjawab mesti disiasat dan jika didapati bersalah, mereka mesti dihukum,” tambah Dr Mahathir.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami