MALAYSIA
Buli di sekolah mesti dilaporkan, jangan sembunyi - Fadhlina

Fadhlina ketika sidang media pada Majlis Peluncuran Platform Pendapat Awam Mengenai Tribunal Antibuli di Dewan Saksama, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Setiap kejadian buli di sekolah mesti dilaporkan tanpa kompromi dan tidak boleh disembunyikan, selain perlu disiasat secara telus mengikut garis panduan sedia ada di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan (KPM), kata Menterinya Fadhlina Sidek.
Ringkasan AI
- Setiap kes buli di sekolah mesti dilaporkan tanpa kompromi, disiasat secara telus mengikut garis panduan KPM, dan tidak boleh disembunyikan, tegas Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
- KPM sediakan portal aduan dengan ciri tanpa nama untuk galakkan pelaporan, serta beri jaminan semua kes akan disiasat; pentadbir dan guru wajib bertanggungjawab penuh.
- Agenda pendidikan karakter akan diperkenalkan dalam kurikulum 2027, menekankan nilai moral, adab dan akhlak bagi membentuk sahsiah murid.
"Mesti ada tanggungjawab oleh pentadbir dan guru untuk melaporkan dan juga mengambil tanggungjawab penuh apabila kejadian buli berlaku di dalam sekolah," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Sesi Townhall Tribunal Antibuli, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Fadhlina berkata berdasarkan garis panduan di bawah bidang kuasa KPM, sepatutnya tidak ada langsung ketakutan untuk melaporkan isu buli yang berlaku di sekolah.
"Ini tanggungjawab yang mesti dibereskan oleh semua pengetua, guru besar dan para pentadbir sekolah dan kita sudah bagi jaminan bahawa semua kes buli ini mesti disiasat dengan telus, kita juga bagi jaminan bahawa anak-anak kita mesti ada akses untuk melaporkan.
"Sebab itu kita sudah melakukan reformasi kepada portal aduan kita sendiri bahawa mereka (pelapor) boleh tidak memberikan nama sebenar mereka sekiranya mereka risau dan sebagainya tetapi kita akan tetap siasat berdasarkan reformasi portal aduan yang telah pun kita laksanakan," katanya.
Beliau berkata pihaknya memberi jaminan akan mengambil tanggungjawab penuh untuk memastikan isu-isu berkaitan buli dapat ditangani dalam semua aspek.
Fadhlina dalam pada itu berkata agenda pendidikan karakter akan menjadi satu daripada tujahan utama dalam kurikulum persekolahan 2027.
"Pendidikan karakter ialah satu sesi atau kurikulum khas yang akan menumpukan pada keperibadian sahsiah dan pembangunan murid secara keseluruhan...yang memberikan penekanan kepada nilai moral, adab dan akhlak kepada anak-anak kita," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami