Bumbung rumah tercabut, lima kampung terjejas hujan ribut di Taiping

Abd Razak Mohd Ali
Mac 7, 2024 22:15 MYT
Sebanyak 10 buah rumah mengalami kerosakan, iaitu dua di kuarters Klinik Kesihatan Kuala Sepetang, lima di Kampung Menteri dan tiga di Kampung Setia, Simpang. - Foto APM Perak
TAIPING: Hujan lebat yang disertai angin kencang menyebabkan beberapa pokok tumbang di samping bumbung rumah tercabut di lima buah kampung di sini, petang semalam.
Lima kampung terlibat ialah Kampung Setia, Simpang; Kampung Kuala Sepetang; Kampung Menteri; Kampung Matang Road dan Kampung Dew.
Menurut Pusat Kawalan Operasi Daerah Angkatan Pertahanan Awam Daerah Taiping, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 4.30 petang.
“Berlaku hujan lebat bersama angin kencang menyebabkan pokok tumbang dan bumbung rumah diterbangkan ribut di kawasan-kawasan terlibat,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya lagi, sebanyak 10 buah rumah mengalami kerosakan, iaitu dua di kuarters Klinik Kesihatan Kuala Sepetang, lima di Kampung Menteri dan tiga di Kampung Setia, Simpang.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini tiada pusat pemindahan sementara dibuka.
“Anggota berada di lokasi bagi membuat pemantauan di kampung-kampung lain yang terlibat,” ujarnya.
.
#ribut #Taiping #rumah rosak #bumbung rumah tercabut