NATIONAL
Bunuh 60,000 penduduk Palestin 'bukan satu keganasan' bagi Israel - Tun Mahathir
Dr Mahathir berkata, tamadun dunia yang hebat tidak mampu berbuat apa-apa, kerana di sebalik tindakan Rejim Zionis ialah kononnya Amerika Syarikat yang hebat.
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat menyoal tindakan rejim Zionis Israel yang mengecam keputusan Presiden Perancis Emmanuel Macron untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara yang berdaulat.
Dalam catatan terbaharu di laman media sosialnya, Dr Mahathir berkata, ia seperti segala yang betul adalah salah untuk Israel, dan segala yang salah adalah betul untuk Israel.
“Hingga hari ini, Israel telah membunuh lebih 60,000 rakyat Palestin, meruntuhkan bandar-bandar di Gaza, menghalang bantuan kemanusiaan, mengebom hospital dan sekolah, membunuh bayi, kanak-kanak dan wanita, mengebom Beirut dan membunuh penduduk Lubnan.
“Sudah tentu ini 'bukan' tindakan keganasan. Menahan ribuan rakyat Palestin sejak 70 tahun lepas juga 'bukan' satu tindakan yang menekan,” katanya sinis.
Dr Mahathir berkata, tamadun dunia yang hebat tidak mampu berbuat apa-apa, kerana di sebalik tindakan Rejim Zionis ialah kononnya Amerika Syarikat yang hebat.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Menteri Luar Israel, Gideon Saar yang menolak keputusan Macron, sambil mendakwa sebarang pengiktirafan kepada Palestini seolah-olah satu ‘anugerah’ untuk pejuang Hamas.
Terdahulu Macron dilaporkan sebagai berkata, beliau berhasrat untuk memuktamadkan langkah pengiktirafan tersebut sewaktu persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu tentang konflik Israel-Palestin, yang akan dipengerusikan bersama Perancis dan Arab Saudi pada Jun hadapan.
“Kita mesti bergerak ke arah pengiktirafan (Palestin), dan kita akan lakukannya dalam beberapa bulan akan datang. Saya bukan lakukannya demi mengambil hati sesiapa, tetapi saya lakukannya kerana ia adalah perkara yang betul,” katanya lagi.
Sementara itu Menteri Hal Ehwal Luar Palestin, Varsen Aghabekian Shahin memberitahu AFP, pengiktirafan Perancis adalah satu langkah ke arah melindungi kepentingan rakyat Palestin dan penyelesaian dua negara.